My Add

Tuesday 8 November 2011

Keselesaan mengerjakan haji

                                  Tidak perlu lagi berasak melontar di jamrah
MASJIDIL Haram di Mekah
SELASA, 8 November, 2011: Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dan yang sedang dirancang oleh kerajaan Arab Saudi ketika ini dilihat mampu menjadikan ibadah haji pada masa akan datang semakin bertambah selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, contoh ketara yang dapat dilihat ketika ini adalah pembangunan tempat melontar di ketiga-tiga jamrah secara bertingkat, yang menjadikan ibadah melontar cukup selesa.

Beliau berkata, selain itu, dengan pengenalan tempoh khusus buat jemaah dari pelbagai benua untuk melontar, ia tambah memudahkan dan memberi keselesaan kepada jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan kewajipan itu.

"Saya yakin dengan pelbagai inisiatif dan infrastruktur yang sedang dirancang seperti pembesaran Masjidil Haram, pembangunan jaringan kereta api lebih baik, insya-Allah semua ini akan tambah memberi keselesaan kepada jemaah haji pada masa akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa hendak melontar di tiga jamrah, awal hari ini.

Hari ini merupakan 11 Zulhijjah, yang menyaksikan kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini melontar di tiga jamrah, yang merupakan salah satu daripada wajib haji.

Menurut laporan Bernama dari Mekah, jemaah haji membanjiri kawasan Mina semasa menunaikan kewajipan itu, dengan kerajaan Arab Saudi menyediakan ratusan ribu khemah buat semua jemaah muasassah.

Sementara itu, ada juga jemaah haji yang bermalam di kaki-kaki lima dan bukit berbumbungkan langit di sekitar kawasan melontar di jamrah sehingga menyesakkan lagi keadaan, semasa pihak berkuasa Arab Saudi bekerja keras memastikan orang ramai tidak berhimpun terlalu lama di kawasan laluan jamrah.

Jamil Khir berkata, beliau yakin kerajaan Arab Saudi akan berusaha mencari inisiatif terbaik untuk mengurangkan lagi kesesakan, yang pastinya akan membangkitkan lagi kecantikan persekitaran di tanah suci. 
JAMIL Khir Baharom bersama pegawai-pegawai Tabung Haji menunaikan ibadah melontar di Jamrah sejurus selepas waktu solat subuh di Mina, semalam. - Bernama

                                          "Alhamdulillah, mudah untuk melonta..." 
"Alhamdulillah, mudah untuk melontar, tidak berasak-asak," kata Musa Mohamad Salleh, jemaah haji dari Brunei sambil tersenyum dan gembira setelah selesai melontar di tiga jamrah pada hari pertama Tasyrik hari ini.

Beliau berkata, pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat memudahkan jemaah melontar dengan selesa. 

"Beberapa tahun dahulu sebelum adanya kompleks bertingkat ini, saya diberitahu ada berlaku kejadian berasak-asak sehingga menyebabkan beratus jemaah yang terkorban," katanya.

Hari Tasyrik pertama daripada tiga hari, hari ini dipenuhi dengan ibadah melontar di tiga jamrah di sini, oleh kira-kira tiga juta umat Islam yang menunaikan haji tahun ini. 

Sepanjang tiga hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 7, 8 dan 9 Nov, jemaah melontar di Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqaba.

Jemaah haji melontar tujuh biji batu kecil ke setiap tiang jamrah, yang merupakan simbol syaitan yang dilontar oleh Nabi Allah Ibrahim, yang cuba menyekat baginda daripada meneruskan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail sebagai korban.

Jemaah mula melontar Jamrah Aqaba semalam (10 Zulhijjah) pada hari Nahar atau Hari Raya Korban sebagai satu lagi wajib haji.

Selepas melontar jamrah Aqaba, mereka bertahlul dengan menggunting atau mencukur rambut dan hari ini mereka melontar dengan berpakaian biasa.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai kemudahan yang disediakan pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi terutama pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat, memudahkan jemaah melontar dengan selesa tanpa perlu berasak-asak.

Laluan sehala untuk masuk dan keluar ke kompleks tersebut bagi semua tingkat (aras) memperlihatkan pergerakan jemaah yang lebih teratur.

Kehadiran anggota pasukan keselamatan dalam memberi paduan arah atau laluan yang betul, memudahkan lagi pergerakan jemaah.
"Hurry up, pilgrims" adalah antara arahan dalam bahasa Inggeris selain bahasa Arab, yang sentiasa didengari dari pembesar suara agar jemaah bersegera melontar dan beredar bagi membolehkan jemaah lain melontar pula.

Sistem monorel yang beroperasi sepenuhnya tahun ini dari Arafah-Mudzalifah-Mina dilihat dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Kelihatan juga ibu bapa yang membawa kanak-kanak bersama mereka dan bagi kanak-kanak lelaki lingkungan usia empat dan lima tahun yang sudah dicukur kepala begitu bersemangat berjalan bersama ibu bapa mereka.

Jemaah yang sudah selesai melontar akan kembali ke khemah masing-masing yang dibina mengikut zon dan negara, untuk menunggu lontaran pada hari berikutnya.

Mereka menggunakan masa yang terluang itu untuk beribadat seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa memohon kesejahteraan dan keberkatan daripada Allah SWT.






No comments:

Post a Comment