My Add

Wednesday 16 November 2011

Kenali Warisan Kita disiar mulai Ahad ini

RABU, 16 November, 2011: Enam episod dokumentari bertajuk Selayang Pandang Warisan Malaysia yang memaparkan warisan kebudayaan negara akan ditayangkan menerusi rangkaian televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 20 November ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dokumentari tersebut bakal menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk mengenali dengan lebih rapat mengenai warisan tanah air, lapor Utusan Malaysia.

Paling utama, katanya, ia mampu memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tentang pentingnya usaha memelihara warisan kebudayaan dan semulajadi negara ini.

''Menerusi dokumentari itu, generasi lama boleh mengulangkaji semula tentang warisan tanah air dan bagi generasi muda pula, ia satu pengalaman baru untuk mereka mengetahui lebih mendalam tentang pengertian warisan negara.

''Kita harap rakyat negara ini bukan sahaja berminat untuk menonton dokumentari itu tetapi juga menyimpan dokumentari tersebut bagi generasi akan datang,'' katanya selepas melancarkan video dokumentari bersiri Selayang Pandang Warisan Malaysia semalam.

Dokumentari enam episod dalam dwi bahasa yang akan disiarkan menerusi saluran TV1 (bahasa Melayu) dan TV2 (bahasa Inggeris) itu dimulakan dengan episod mengenali Warisan Kita diikuti episod Warisan Seni Bina, Warisan Arkeologi, Warisan Semula Jadi, Warisan Budaya dan Tokoh-tokoh Warisan.

Selain memaparkan tentang kekayaan warisan Malaysia yang merangkumi sejarah budaya dan nilai-nilai jati diri rakyatnya, dokumentari itu juga meliputi warisan seni bina, arkeologi, khazanah alam semula jadi, tokoh orang hidup, adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan kesusasteraan.

Rais berkata, penyelidik dan ahli sejarah perlu menjadikan dokumentari tersebut sebagai cabaran untuk mencari lebih banyak warisan yang terbiar agar usaha negara memulihara warisan kebudayaan dan semula jadi Malaysia dapat diteruskan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, langkah Jabatan Warisan Negara untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tapak arkeologi Lembah Lenggong di Perak, akan diketahui tahun depan.

No comments:

Post a Comment