My Add

Wednesday 23 November 2011

Keputusan permohonan Utusan batal saman Mat Sabu 6 Dis

KUALA LUMPUR, RABU, 23 November, 2011: 
MAHKAMAH  Tinggi akan memutuskan permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung penyiaran artikel berhubung isu komunis Bukit Kepong, pada 6 Disember ini.

Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini.

Pada 27 Oktober, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu memfailkan permohonan itu atas alasan saman tersebut mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta ia suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 14 September lalu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, 57, memfailkan saman itu dan mendakwa defendan dengan niat jahat menerbitkan satu artikel fitnah pada 27 Ogos lalu dan dua lagi artikel pada keesokan harinya, iaitu pada 28 Ogos. 

Beliau mendakwa penyiaran artikel itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa dirinya menyokong komunis, terkeluar daripada ajaran dan akidah Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai pengganas komunis yang bekerjasama dengan Goh Peng Tun serta 200 lagi angggota komunis.

Mat Sabu mendakwa dirinya berasa malu dan maruah, kredibiliti serta reputasinya juga terjejas. 

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk serta perintah mahkamah agar defendan memohon maaf dan menarik balik artikel fitnah itu.
 
Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili defendan Mat Sabu gagal menyokong writ saman dengan butiran lengkap serta mencukupi berhubung penyiaran artikel berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian menyebabkan writ saman itu perlu dibatalkan oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mat Sabu berkata, defendan gagal menunjukkan bagaimana mereka diprejudis akibat ketiadaan butiran bagi menyokong writ saman berkenaan. - BERNAMA 



No comments:

Post a Comment