My Add

Wednesday 23 November 2011

Polis Indonesia diharap tangkap individu terlibat ugutan

JAKARTA, RABU, 23 November, 2011: 
PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) berharap polis segera menangkap individu yang membuat ugutan bunuh terhadap pelajar Malaysia di Universiti Padjadjaran (UNPAD), Bandung semalam memandangkan semua bukti mengenai perbuatan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Yang Dipertua PKPMI, Khairul Hafidz Al-Khair Khairul Amin berkata, wajah individu itu telah dikenal pasti dan polis tidak perlu melengahkan tangkapan dan seterusnya bertindak menyelesaikan kes itu.

"Pada masa yang sama, kami juga ingin mendapat jaminan daripada pihak polis tempatan mengenai keselamatan lebih 1,000 pelajar Malaysia di Universiti Padjadjaran, Bandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Hafidz berkata, persatuan itu memandang serius terhadap ancaman yang dibuat oleh individu berkenaan dan telah membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku perbuatan sebagaimana yang disebut dalam twitter oleh individu berkenaan.

Laporan polis itu dibuat oleh Yang Dipertua PKPMI cawangan Bandung, Haikal Ambri Rosle bersama pimpinan PKPMI cawangan Bandung.

Isnin malam lepas, selepas pasukan Garuda Muda tewas kepada pasukan Harimau Muda pada pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 di Stadium Utama, Gelora Bung Karno di sini, seorang individu telah menulis di satu akaun twitter ancaman bunuh terhadap pelajar Malaysia yang menuntut di UNPAD.

Ugutan itu yang disebarkan melalui twitter bernama @hikmat—maswara kepada akaun twitter sebahagian besar artis Malaysia berbunyi: “Tomorrow I will kill Malaysia student at the University of Padjadjaran”. 

Khairul Hafidz juga memohon agar pihak Universiti Padjadjaran menjaga keselamatan pelajar Malaysia di fakulti perubatan, perubatan gigi dan juga farmasi dan persatuan itu bersedia berbincang dengan pihak universiti berhubung perkara berkenaan.

"PKPMI Pusat telah meminta semua 16 cawangan PKPMI di seluruh Indonesia memantau keselamatan semua pelajar kita di kawasan masing-masing dan melaporkan kepada PKPMI Pusat jika berlaku sebarang ugutan, provokasi atau serangan fizikal pasca perlawanan bola sepak itu tempoh hari.

"Jika terdapat sebarang aduan, kami akan langsung menghubungi Education Malaysia Indonesia (EMI) untuk tindakan lanjut daripada pihak mereka,” katanya.

Setakat ini, katanya belum ada sebarang kejadian dilaporkan oleh cawangan-cawangan persatuan itu.

"Saya ingin menegaskan bahawa hubungan kami dengan rakan-rakan dan jiran Indonesia tetap baik pasca perlawanan bola sepak antara dua negara.

"Sewaktu perlawanan kami ”bermusuh” buat sementara kerana masing-masing menyokong pasukan bola sepak kesayangan masing-masing, namun setelah perlawanan kami tetap bersahabat baik, tiada yang berubah,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment