My Add

Saturday 19 November 2011

Kerajaan Selangor penakut: Noh Omar

Noh Omar
SABRU, 19 November, 2011: Kerajaan Negeri Selangor disifatkan takut memberi mandat kepada rakyat berikutan keengganannya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekalipun jika Kerajaan Persekutuan bertindak membubar Parlimen.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang itu jelas menunjukkan mereka takut dengan bayang-bayang sendiri dan tidak yakin mampu mempertahankan kemenangannya di Selangor, lapor Bernama.

"Bila tiada pilihan raya tahun ini, mereka canang tidak akan bubar DUN tahun depan. Jika sampai pertengahan tahun depan masih tidak berlaku pilihan raya, mereka akan kata pula tidak akan bubar (DUN) sampai lima tahun.

Khalid Ibrahim 
"Kalau nak buat dua kali pilihan raya, kos akan lebih tinggi dan menyusahkan rakyat untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan RM100 kepada 529 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor petang semalam.

MB tidak perlu gentar bubar DUN

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar tidak perlu menunggu sehingga 2013 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri jika kerajaan pimpinan beliau benar-benar mantap.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari, sebagai Menteri Besar yang menganggap dirinya menerima sokongan kuat semua ahli Exco, Abdul Khalid sepatutnya tidak gentar untuk memberi mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

"Walaupun Abdul Khalid enggan membubarkan DUN, jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Shah Alam sentiasa bersedia untuk berkempen menghadapi pertandingan di kerusi Parlimen.

"Keengganan Menteri Besar membubarkan DUN membuktikan pakatan pembangkang masih belum sepakat untuk memilih calon bertanding dan ini membuktikan mereka memerlukan masa menyelesaikan masalah yang kritikal dalam pakatan itu," katanya selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar Sekolah Menengah Bukit Kuda, Shah Alam, semalam.

Abdul Khalid semalam memberitahu, DUN Selangor tidak akan dibubarkan sekali pun kerajaan Pusat bertindak membubarkan Parlimen pada Januari tahun depan untuk menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, kerajaan negeri hanya akan membubarkan DUN selepas enam bulan dari tarikh pembubaran Parlimen bagi memastikan Bajet Selangor 2012 dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Azhari berkata, rakyat Selangor sudah muak dengan permainan politik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang hanya pandai menabur janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12, tetapi tidak berkemampuan untuk memenuhinya setelah diberi kuasa oleh rakyat.

Kata beliau, Abdul Khalid sepatutnya sedar bahawa rakyat negeri Selangor bukan sahaja memerlukan air percuma tetapi rumah mampu milik dan infrastruktur yang lebih baik.

"Dalam situasi sekarang sudah pasti kerajaan negeri tidak berani terlibat dengan pilihan raya kerana mereka tidak sanggup lagi mengeluarkan manifesto baharu kerana yang lama masih banyak tertunggak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment