My Add

Thursday 10 November 2011

Kesatuan sekerja, MCA terus bidas Tony Pua

KHAMIS, 10 November, 2011: Beberapa lagi kesatuan sekerja membidas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang berhasrat mengurangkan bilangan penjawat awam jika pembangkang diberi kuasa memerintah negara.

Mereka yang dihubungi Utusan Malaysia bukan sahaja menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak berasas bahkan bakal merencatkan agenda kerajaan mentransformasikan kemajuan negara.

Yang Dipertua Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan Semenanjung Malaysia (Keptan), Aminuddin Chik berkata, tiada ada sebab untuk parti politik tersebut melaksanakan cadangan itu.

"Apa yang dicadangkan itu jika dilaksanakan akan merencatkan transformasi negara ke arah negara maju pada 2020 nanti," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tony yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini bahawa DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Aminuddin menambah, DAP seolah-olah tidak memikirkan nasib kakitangan awam bekerja keras meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk rakyat.

Yang Dipertua Persatuan Penolong Pegawai Sistem Maklumat Sektor Awam Malaysia (Pesima), Sazali Sajat berkata, cadangan tersebut tidak membantu ke arah kemajuan negara.

"Kakitangan awam diibaratkan sebagai tulang belakang negara. Sekiranya dikurangkan, tidak porak-peranda negara dibuatnya?

"Contohnya, jika jumlah guru dikurangkan, bagaimana sistem pendidikan dapat dimajukan," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pelajaran Semenanjung Malaysia, Ashaari Maarof berkata, cadangan yang dikeluarkan pemimpin DAP itu tidak wajar dan tidak masuk akal.

"Seharusnya dia mencadangkan sesuatu yang lebih berfaedah dan bernas seperti kakitangan awam harus diberi motivasi atau diberi sebarang kelas tambahan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Setiausaha Agung Kesatuan Penyelia Asrama Kementerian Pelajaran Semenanjung Malaysia, Nik Mat Nik Yaakub pula menyifatkan cadangan pemimpin itu sebagai menghina penjawat awam.

"Seharusnya dia turut menghargai sumbangan penjawat awam dalam membangunkan negara.

''Saya percaya ini semuanya gimik politik murahan yang sengaja diada-adakan untuk menarik perhatian awam," katanya.

MCA Selangor cabar DAP lakukan di Pulau Pinang dahulu

Setiausaha Kehormat MCA Selangor, Wong Koon Mun hari ini mencabar DAP melaksanakan pengurangan jumlah penjawat awam di Pulau Pinang terlebih dahulu bagi melihat keberkesanannya.

Koon Mun memberitahu, pelaksanaan tersebut perlu dilakukan di negeri-negeri yang mereka tadbir untuk membuktikan bahawa mereka tidak menipu rakyat.

"Pengurangan ini perlu dilakukan di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan bagi melihat keberkesanannya, namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh mereka.

"Oleh itu, saya mencabar mereka untuk laksanakan di negeri-negeri yang mereka kuasai dan bukan terus mengelirukan rakyat dengan janji kosong mereka," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Koon Mun, hasrat Tony Pua turut ditolak oleh Pas kerana tiada perbincangan mengenai pengurangan penjawat awam di kalangan pakatan pembangkang dan ini hanyalah pandangan peribadi beliau sendiri.

"Tony Pua pernah berkata Selangor akan mendapat hak ke atas Lebuh Raya Damansara-Puchong bagi meringankan beban rakyat, namun tahun demi tahun tiada apa yang dilakukan.

"Beliau yakinkan rakyat dengan fakta yang salah dengan tujuan untuk menipu rakyat dan sering kali menyalahkan kerajaan Persekutuan," katanya.

No comments:

Post a Comment