My Add

Monday, 28 November 2011

Madrasah: Bantahan meningkat terhadap kerajaan Pas Kedah

ALOR SETAR, ISNIN, 28 November, 2011:
GELOMBANG bantahan terhadap tindakan kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan Madrasah Salihiah Kanchut di sini bagi pembinaan sebuah kompleks beli-belah terus meningkat.

Bantahan terbaru disuarakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah yang kecewa dengan tindakan berkenaan kerana dilihat bertentangan dengan usaha memartabatkan syiar Islam.

Yang Dipertuanya, Syed Osman Mansor berkata, meskipun sebuah surau baharu bakal dibina di bawah kompleks beli-belah berkenaan, fungsinya tidak akan sama dengan peranan yang dimainkan oleh madrasah yang berusia lebih 100 tahun itu.

"Pembinaan surau walaupun mampu menampung 400 jemaah pada satu-satu masa, peranannya mungkin hanya untuk menunaikan solat semata-mata. Bukan sebagai pusat perkembangan syiar Islam.

"Madrasah itu perlu dipertahankan kerana ia bukan sekadar sebagai tempat menunaikan solat, tetapi diimarahkan dengan pelbagai aktiviti masyarakat Islam seperti ekonomi dan pendidikan," katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengeluarkan notis mengarahkan Madrasah Salihiah yang juga sebuah surau dikosongkan bagi membolehkan ia diruntuhkan untuk memberi laluan membina sebuah kompleks beli-belah.

Bagaimanapun, tindakan tersebut dibantah kariah madrasah tersebut dan beberapa tokoh masyarakat negeri ini yang menyifatkan langkah tersebut sebagai meminggirkan Islam dan membelakangkan ajaran agama itu demi kemajuan dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membidas langkah kerajaan Pas Kedah itu kerana lebih mementingkan hasil ekonomi berbanding pembangunan syiar Islam.

Syed Osman berkata, Perkasa Kedah juga kecewa kerana kerajaan negeri seolah-olah tidak peka dengan bantahan yang disuarakan rakyat negeri ini sehinggakan rakyat mula membuat perbandingan apabila isu berkenaan dihebohkan dan berlarutan sampai sekarang.

Sedangkan, katanya, cara penyelesaian terhadap isu tersebut adalah mudah iaitu menteri besar dan Exco kerajaan negeri mengisytiharkan tapak madrasah berkenaan sebagai tapak warisan dan wakafkan untuk masjid.

Sehubungan itu, beliau berkata, pertubuhan itu menyokong hasrat ahli kariah Madrasah Salihiah untuk memohon Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah agar campur tangan bagi menghalang tindakan kerajaan negeri membenarkan kerja-kerja merobohkan madrasah itu untuk dibina kompleks beli-belah.

"Perkasa akan membantu ahli kariah membuat memorandum yang lengkap dan adil untuk dipersembahkan kepada Sultan Kedah," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment