My Add

Wednesday 9 November 2011

MCSB: Pelupusan saham MAS bagi susun semula kewangan

RABU, 09 November, 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah Malaysia Airlines System Bhd (MAS) melupuskan 70 peratus pegangan saham dalam MAS Catering Sdn Bhd (MCSB) pada 2002 adalah strategi penyusunan semula kewangan syarikat penerbangan tersebut.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata, pelupusan pegangan itu bertujuan membolehkan MAS memberi tumpuan kepada aktiviti terasnya iaitu menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik, antarabangsa dan kargo.

"Selain itu, pelupusan ini juga membolehkan MAS memperoleh dana yang sangat diperlukan pada ketika itu di samping mengekalkan 30 peratus pegangan dalam MCSB untuk memelihara kepentingannya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang ingin tahu mengapa MAS menjual pegangannya dalam MCSB kepada sebuah syarikat lain, dan terpaksa membeli semua makanan dan minuman serta perkhidmatan kabin lain dengan keuntungan jaminan daripada syarikat itu selama 25 tahun.

Pada 30 Julai, 2002, MAS telah melupuskan 70 peratus pegangan dalam MCSB kepada Konsortium Gubahan Saujana Sdn Bhd pada harga jualan RM175 juta, berdasarkan kajian menyeluruh dan nilai pasaran yang adil. 

No comments:

Post a Comment