My Add

Saturday 19 November 2011

Penjelasan PFN memuaskan, semua sembilan tuduhan: TPM

Foto
MUHYIDDIN (tengah) merangkap Menteri Pelajaran dan Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia tertarik melihat model Kompleks Bangunan HTC Kuala Lumpur sambil diberikan taklimat oleh Timbalan Pengarahnya, Rohani Ahmad (kanan) ketika melawat ke ruang pameran selepas majlis pelancaran sambutan Hari UNESCO Malaysia, semalam.

Kabinet tidak perlu bincang isu

SABTU, 19 November, 2011: Kerajaan berpuas hati dengan penjelasan berkaitan Pusat Fidlot Nasional (PFN) dan menganggap isu berkenaan tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sudah mengetahui kedudukan sebenar mengenai perkara itu dan kini terserah kepada masyarakat untuk menerima segala penjelasan yang dibuat oleh syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

“Kita cuma nak tahu fakta sebenar dan mereka sudah pun beri penjelasan. Malah media juga sudah diberi peluang untuk melawat (NFC) (kelmarin).

“Bagi kerajaan, memang kita tahu kedudukan sebenarnya. Kita tidak termakan dengan cerita yang dibuat oleh pembangkang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari UNESCO Malaysia di ibu negara semalam yang diadakan buat kali pertama selepas 53 tahun negara menganggotai pertubuhan pendidikan, saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

Kelmarin, Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengadakan taklimat yang diikuti sidang media hampir dua jam bagi menjawab semua sembilan tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak termasuk pembangkang berkaitan projek PFN.

Antara tuduhan yang dilemparkan itu termasuk mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil selain dakwaan penyelewengan dana bagi membeli kondominium mewah.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan sudah menerima laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu, Muhyiddin berkata, terserah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Itu terserah kepada polis mengenai siasatan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, menyifatkan penjelasan NFC itu melegakan banyak pihak dan membuktikan syarikat itu bertanggungjawab dengan apa yang sudah dilakukannya terhadap projek kerajaan itu.

“Penjelasan itu sangat baik dan memberikan perspektif yang betul kepada rakyat mengenai isu berkenaan. Pada masa sama juga ia memperlihatkan taktik kotor pembangkang yang cuba memberikan fakta tidak cukup sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Saya rumuskan pembangkang cuba membangkitkan isu ini dengan mengemukakan fakta yang tidak lengkap dan cuba mengaitkan dengan UMNO kerana kedudukan Mohamad Saleh sebagai suami Shahrizat, sedangkan jelas syarikat itu tiada kaitan langsung dengan UMNO mahu pun Shahrizat sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Harun pula menyifatkan penjelasan itu cukup memberi gambaran sebenar isu berkenaan.

“Penjelasan itu juga serta membuktikan syarikat terbabit bertanggungjawab dan tidak menyembunyikan fakta serta mampu menolak segala fitnah yang dilemparkan pembangkang kepada mereka.

“Rakyat menilai sendiri dengan penjelasan ini dan berharap tiada lagi pihak akan mempertikaikan apa yang sudah dijelaskan,” katanya.
SEMUA sembilan tuduhan berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang dilemparkan pelbagai pihak termasuk pembangkang dijawab Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail (gambar).

Dalam taklimat diikuti sidang akhbar hampir dua jam di Ladang NFC di sini, Dr Mohamad Salleh, menjawab satu demi satu tuduhan itu terutama yang dibuat oleh Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Semua tuduhan termasuk mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, dibacakan peguam NFC, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan dijawab Mohamad Salleh.

Tuduhan pertama - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak bercakap benar apabila menyatakan NFC hanya memperoleh dana RM181 juta.

Mengulas perkara ini, Mohamad Salleh berkata, pengeluaran dana itu mempunyai dua tahap dan kedua-dua pemimpin itu berkata benar bahawa NFC hanya mendapat RM181 juta pada 2009.

Katanya, jumlah RM250 juta dimasukkan dalam Akaun Pinjaman Khas (SLA), tetapi proses pengeluaran baki dana memerlukan pengesahan dan perakuan daripada beberapa pihak sebelum NFC memperoleh keseluruhan pinjaman. 

Tuduhan kedua – harga seekor lembu NFC RM4,481, berbanding lembu yang dijual di negara ini antara RM2,500 hingga RM2,700.

Katanya, tuduhan itu berikutan kegagalan memahami prinsip pengurusan akaun yang menggabungkan modal dan kos operasi (OPEX) dalam harga seekor lembu. Ini menyebabkan perbelanjaan perjalanan dan utiliti juga dimasukkan dalam harga ternakan.

“Berikutan pengurusan akaun, lebih banyak lembu dijual, harga semakin rendah. Ini menyebabkan pada peringkat awal harga seekor lembu NFC adalah mahal,” katanya.

Bagaimanapun, perbandingan tidak boleh dibuat dengan lembu tempatan kerana ternakan NFC adalah antara 70 hingga 100 peratus lebih berat berbanding lembu tempatan.

Tuduhan ketiga – rangkaian Restoran Meatworks menerima diskaun RM2.9 juta daripada RFC (Realfood Company Sdn Bhd) iaitu syarikat pemasaran NFC. 

Katanya, diskaun tiada kaitan sepenuhnya kerana Meatworks bersama 70 pembeli lain juga menerima diskaun sama daripada RFC dan jumlah RM2.9 juta itu sebenarnya diskaun dan promosi RFC kepada semua pembeli berdaftar.

Tuduhan keempat – NFC mencatat kerugian antara RM7 juta hingga RM11 juta pada 2009 dan akan menghadapi masalah menyebabkan kerajaan melupuskan pinjaman itu.

Menjawab tuduhan itu, Mohamad Salleh berkata, pandangan itu adalah rumusan tidak matang kerana perjanjian pinjaman tidak menyatakan jadual pembayaran balik dan syarikat masih dalam tempoh yang membenarkan bayaran balik dalam tempoh tertentu menyebabkan NFC tidak melanggar perjanjian pinjaman. 

“Perniagaan NFC sedang berkembang dan ini membolehkan harga seekor lembu diturunkan dan keuntungan meningkat. Dijangka syarikat akan mencatat keuntungan pada 2015 atau 2016. Oleh itu, menuduh NFC gagal adalah tidak adil pada peringkat ini," katanya.

Tuduhan kelima – dakwaan Rafizi dana disalurkan dari NFC kepada National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) dan RFC.

Beliau berkata, NMLC diwujudkan bagi membolehkan pengimportan lembu, penyembelihan dan pemprosesan diasingkan dari fungsi pengedaran dan peruncitan yang diuruskan RFC. 

“Tiada dana yang masuk dalam poket individu, terutama secara langsung dikaitkan dengan Shahrizat. Tuduhan berlaku penyelewengan dan ketirisan dana adalah fitnah kerana semua pelaburan dibuat atas nama NFC dan NMLC," katanya.

Tuduhan keenam – pembelian dua unit kondominium One Menerung di Bangsar berharga RM13.8 juta, bagaimanapun dakwaan mengatakan RM9.8 juta diseleweng untuk tujuan itu yang tiada kena mengena dengan industri ternakan lembu.

Katanya, pembelian kondominium itu dibuat Lembaga Pengarah kerana ada dana yang tidak digunakan untuk projek pusat penyembelihan yang tertangguh disebabkan faktor bukan kesalahan NFC.

“Sebenarnya menempatkan dana itu dalam simpanan tetap adalah kurang kontroversi, tetapi tidak memberi hasil sepatutnya kepada syarikat melalui dana sebanyak itu.

“Kondominium itu diberi diskaun 20 peratus dengan jaminan sewa sebanyak RM30,000 sebulan yang dikreditkan dalam kumpulan NFC. Katakan memasukkan RM13.8 juta dalam simpanan tetap pada kadar 2.75 peratus akan memberi pulangan sebanyak RM379,500.

“Sewa pula memberi pulangan RM360,000 setahun. Oleh kerana hartanah ini dibeli 20 peratus lebih rendah berbanding nilai pasaran maka diandaikan jika hartanah ini dijual semula pada harga pasaran, maka akan ada tambahan RM2.76 juta bersama sewa setahun RM360,000,” katanya.

Ini bermakna, jumlah keuntungan adalah RM3.12 juta, iaitu lebih tinggi 22.6 peratus dalam tempoh setahun berbanding simpanan tetap pada kadar 2.75 peratus.

Selain itu, katanya hartanah itu adalah atas nama syarikat dan tidak akan memberi kelebihan atau kekayaan kepada individu persendirian.

Tuduhan ketujuh – dakwaan NFC mendapat pinjaman mudah dan tanah sedangkan ribuan penternak berpengalaman lain layak mendapat geran itu.

Mohamad Salleh berkata, sebenarnya NFC mendapat pinjaman bukan geran dengan pinjaman mesti dibayar balik seperti mana-mana pinjaman komersial lain.

Selain itu katanya, NFC mempunyai tanggungjawab sosial mewujudkan ladang kontrak untuk industri penternakan di negara ini yang tidak semestinya menguntungkan.

Tuduhan kelapan – perbelanjaan perjalanan sebanyak RM827,579 sedangkan hanya 1,618 lembu disembelih pada 2009. Oleh itu, kos perjalanan bagi setiap ekor lembu adalah RM511 atau 11 peratus daripada harga lembu sebanyak RM4,481.

Katanya, setakat ini perbelanjaan itu hanya kira-kira 0.3 peratus daripada RM250 juta, iaitu suatu jumlah kecil berbanding nilai projek.

“Pada peringkat awal NFC, pengurusan syarikat perlu pergi ke Australia untuk berjumpa perunding dan juga membeli lembu. Perbelanjaan begini memang dijangka dan dimasukkan dalam bajet,” katanya.

Tuduhan terakhir – Rafizi mendakwa bertemu pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menentang projek itu seawal 2006, tetapi pegawai berkenaan tidak mampu menyuarakan pandangannya kerana keputusan dibuat pihak atasan.

Katanya, NFC tidak wujud pada 2006 dan jika tentangan itu adalah berdasarkan daya maju syarikat itu, mereka tidak sepatutnya terlalu banyak merujuk kepada personaliti, tetapi terhadap daya maju syarikat.

PEKERJA NFC melapah daging. 
PEKERJA NFC melapah daging
“Ini menunjukkan secara terang-terangan serangan terhadap menteri, malah keluarganya,” katanya.

Polis jamin siasat isu kondo RM10 juta

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan isu pembelian sebuah kondominium mewah bernilai hampir RM10 juta di ibu negara yang didakwa menyalahgunakan dana projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Nasional (PFN) akan disiasat secara terperinci jika dakwaan itu terbukti sahih.

Ismail turut mengesahkan laporan mengenai kontroversi itu, yang membabitkan keluarga seorang menteri Kabinet, sudah diserahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, malah beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kita sudah terima laporan itu semalam dan dalam proses penelitian. Jika didapati wujud elemen penipuan atau pecah amanah dalam isu berkenaan, maka tindakan selanjutnya akan diambil, termasuk membuka kertas siasatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat keselamatan kepada wakil kedutaan asing di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini semalam.

Isnin lalu, SPRM melalui kenyataan medianya memaklumkan menyerahkan siasatan kepada polis selepas diklasifikasikan sebagai kesalahan mengikut Kanun Kesek-saan.

Projek PFN baru-baru ini yang dikendalikan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd di Gemas, Negeri Sembilan dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan membabitkan pinjaman mudah bernilai RM250 juta.

Isu berkaitan PFN turut disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas ia berdepan masalah apabila sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 lembu kepada 8,000 lembu.

Sementara itu, Ismail menyatakan kesal dan malu berhubung kehilangan wang RM11,700 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam Selasa lalu, yang juga sebahagian daripada bahan bukti kes samun membabitkan pegawai SPRM terhadap seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 15 September lalu.

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian itu mengikut prosedur sepatutnya, malah tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota terbabit jika didapati berlaku kecuaian semasa mereka menjalankan tugas

No comments:

Post a Comment