My Add

Tuesday 8 November 2011

Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan masih relevan

SELASA, 08 November, 2011: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kehilangan kelayakan seseorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding semula dalam tempoh lima tahun selepas meletakkan jawatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, peruntukan tersebut masih relevan terutama bagi mengelakkan pembaziran wang, masa dan tenaga kerana perlu melakukan semula proses pilihan raya kecil di kawasan terlibat.

"Peruntukan ini diwujudkan untuk menghalang ahli Dewan Rakyat atau DUN untuk bertanding semula dalam tempoh lima tahun. Jika dimansuhkan, maka sistem demokrasi yang kita amalkan akan terjejas semata-mata menjayakan agenda politik seseorang dan membuktikan populariti mereka. Ia tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Gelugor) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia memansuhkan peruntukan tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memberi semangat kepada proses demokrasi, lapor Bernama.

Fasal (6) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan dan perenggan kecil 6(5) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan masing-masing memperuntukkan bahawa jika seseorang ahli Dewan Rakyat atau DUN melepaskan keanggotaannya, beliau akan hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN selama lima tahun dari tarikh pelepasan keanggotaannya.

Ini bermakna seseorang anggota itu tidak boleh bertanding dalam masa lima tahun dari tarikh pelepasan keanggotaannya.

Vui Keong berkata, peruntukan yang sama juga diwujudkan bagi mengelakkan pasangan atau anggota keluarga seseorang ahli Parlimen atau DUN yang telah meletakkan jawatan untuk bertanding di kerusi yang sama.

Menjawab soalan tambahan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sama ada pilihan raya kecil paksaan seperti yang diinginkan oleh parti pembangkang merupakan satu konsep dalam memperjuangkan demokrasi, Vui Keong berkata, peruntukan 48(6) memberi peluang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan bukan mengutamakan agenda politik masing-masing.

"Jika seseorang anggota politik mengadakan pilihan raya kecil paksaan untuk agenda tersendiri, maka ini namanya tidak bertanggungjawab dan hanya mahu puaskan hati sendiri,” katanya. 

No comments:

Post a Comment