My Add

Tuesday 15 November 2011

Sensitiviti Islam disentuh kerana umat berpecah

SRBAHAGIANpeserta pada Seminar Pemahaman Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan anjuran Jakim di Kuala Lumpur, semalam.

SELASA, 15 November, 2011: Perpecahan umat Islam menjadi faktor utama timbul pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti dan kesucian agama tersebut di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perpecahan itu juga memberi peluang kepada pihak tertentu membangkitkan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama rasmi Persekutuan itu.

"Melihat umat Islam tidak bersatu dalam konteks fitrah dan pemikiran menyebabkan mereka berani mendakwa Islam sudah hilang kekuatannya.

"Mungkin kita boleh berbeza dalam pandangan politik tetapi dalam konteks itu kita perlu bersatu," katanya selepas merasmikan Seminar Pemahaman Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam..

Menurut Utusan Malaysia, seminar kali ketiga anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bertujuan memberi kefahaman tentang kedudukan agama Islam dan memastikan ia terpelihara sebagai agama rasmi negara.

Menurut Jamil Khir, seminar itu juga berperanan sebagai platform bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan Islam dan mencari titik penyelesaian bagi setiap masalah yang dibangkitkan.

"Kalau orang Islam boleh bersatu seperti dalam seminar ini misalnya, pihak lain akan nampak kesatuan kita dalam menghadapi sesuatu isu dan ia akan memberi pengajaran kepada mereka untuk menghormati agama Islam," katanya.

Justeru itu ujarnya, masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam perlu diberikan pemahaman yang betul mengenai agama itu agar tidak timbul perkara yang boleh mencetuskan kegelisahan antara kaum.

No comments:

Post a Comment