My Add

Saturday 5 November 2011

Tidak perlu berangan ambil Melaka: Ketua Menteri

Ali Rustam
SABTU, 05 November, 2011: Hasrat pakatan rakyat untuk merampas Seri Negeri di Ayer Keroh yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan Melaka pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang diibarat seperti ‘bermimpi di siang hari’, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

"Mereka tidak perlu berangan untuk ambil (rampas) Melaka, sebaliknya perlu jaga negeri yang dikuasai sekarang iaitu Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang kerana Barisan Nasional bakal merampasnya pada PRU akan datang.

"Rakyat Melaka tak mahu memperjudikan nasib mereka dengan menerima parti yang tidak punyai masa depan seperti pakatan rakyat kerana BN sudah membuktikan kemampuannya sejak merdeka dengan membela nasib rakyat serta membangunkan negara," katanya ketika dihubungi di Jasin, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas negeri, Adly Zahari bahawa pakatan itu yakin akan memenangi pilihan raya umum akan datang, sekali gus merampas Seri Negeri daripada kerajaan sekarang, ketika menyampaikan ceramah di Kemendor Melaka, malam semalam. 

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Wira Idris Haron, berkata Pas perlu berpijak di bumi nyata bahawa pakatan rakyat tidak mampu bersepakat dalam melaksanakan apa jua keputusan termasuk membentuk kabinet bayangan. 

Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata semua orang berhak memasang cita-cita atau angan-angan, namun yang seeloknya mereka kena ukur baju di badan sendiri terlebih dulu jika benar-benar mahu memerintah. 

"Mereka tidak layak untuk mentadbir negeri, apatah lagi negara dan jika mereka menyatakan hasrat untuk memerintah, ia hanya sekadar ‘angan-angan Mat Jenin’ yang akhirnya tidak memberi apa-apa kepada rakyat," katanya

No comments:

Post a Comment