My Add

Saturday 5 November 2011

PPSMI: Muhyiddin nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa

Muhiddin Yasin
SABTU, 05 November, 2011 Timbalan Perdana Menteri menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.

"Semua anggota Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di Pagoh, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI, lapor Bernama.

Majoriti daripada sekolah-sekolah yang lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau Bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003.

Seruan kebaikan lahirkan masyarakat harmoni 

Dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok, Muhyiddn berkata, kewujudan masyarakat Malaysia yang harmoni ketika ini terhasil daripada usaha berterusan pelbagai pihak yang sentiasa menyeru kepada kebaikan. 

Katanya, untuk itu, budaya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran harus terus disemarakkan, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat Malaysia yang semakin kompleks hari ini.

"Dalam konteks masyarakat kita yang semakin kompleks hari ini, ditambah dengan kemunculan beberapa gejala boleh melalaikan umat daripada mentaati perintah Allah, maka sewajarnya kita menyemarakkan budaya al-amr bil ma’ruf dan al-nahyu anil-munkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat kita.

"Saya yakin dengan adanya usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk menyeru kepada kebaikan dan membimbing masyarakat agar menjauhi kemungkaran, kita akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, bermoral dan berakhlak mulia,” katanya. 

Muhyiddin berkata, kesepaduan di kalangan umat Islam untuk membimbing sesama umat supaya mentaati perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya akan menjadikan orang Islam insan bertaqwa yang sentiasa dipandang mulia.

No comments:

Post a Comment