My Add

Monday 7 November 2011

UMNO Kedah siap sedia hadapi banjir

MUKHRIZ bersama penduduk bergotong royong pada majlis 'Korban Perdana' Parlimen Jerlun sempena Aidiladha di Kampung Padang Pering, Kodiang, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor

ISNIN, 07 November, 2011:
UMNO Kedah telah membuat persiapan untuk menghadapi banjir yang dijangka lebih besar sekiranya berlaku dalam masa terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, persiapan itu termasuk logistik, pusat penempatan, bekalan makanan kering, selimut dan dua buah bot untuk mangsa banjir, lapor Bernama.

"Laporan-laporan yang diterima menganggarkan hujan tahun ini agak lebat dan banjir luar biasa dijangka berlaku. Kita tidak tunggu sehingga ia berlaku sebaliknya membuat persiapan awal.

"Sekiranya tidak berlaku alhamdulillah, kalau berlaku kita bersedia hadapinya,” katanya pada majlis ”Korban Perdana” Parlimen Jerlun sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Pering Kodiang, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, bekalan makanan kering disimpan di sebuah tempat tinggi dan mudah diagihkan apabila berlaku banjir.

Raja Muda Perlis mahu rakyat bersedia

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat bersedia menghadapi kemungkinan banjir dengan melaksanakan perancangan peribadi, keluarga dan tempat kerja secara sukarela serta konsisten.

Antara yang boleh dilakukan termasuk membersih saluran parit dan pembetung berhampiran rumah dan tempat kerja supaya bebas daripada sampah sarap serta halangan yang boleh menyekat aliran air.

"Mereka juga perlu mengelakkan pembinaan struktur yang boleh mengganggu aliran air dan tidak menjadikan sungai, parit dan longkang sebagai tempat pembuangan sampah,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin turut menggalakkan rakyat menakung air hujan yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan di mana secara tidak langsung langkah ini dapat membantu mengurangkan jumlah isipadu air hujan yang mengalir ke parit dan sungai.

Baginda berharap orang ramai sentiasa berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran atau Majlis Perbandaran Kangar jika terdapat sebarang halangan air yang tidak boleh diselesaikan secara individu.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan peralihan Monsun Timur Laut akan membawa hujan lebat mulai bulan ini dan Perlis disenaraikan sebagai antara negeri yang bakal mengalami banjir besar selain Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

No comments:

Post a Comment