My Add

Sunday 20 November 2011

Tubuh J/kuasa penambahbaik ekonomi Pulau Aman: Pak Lah

AHAD, 20 November, 2011:
BEKAS Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan sebuah jawatankuasa yang mengkaji penambahbaikan ekonomi dan pembangunan Pulau Aman diwujudkan bagi memastikan penduduk pulau itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta ekonomi. 

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai wakil beberapa jabatan berkaitan bagi membincangkan keperluan penduduk dan pembangunan yang akan dibawa ke kampung berkenaan.

"Saya amat berharap peluang ekonomi yang dibawa turut dirasai penduduk Pulau Aman dan untuk itu, amat perlu produk yang ada di sini seperti pelancongan, inap desa dan hasil kraftangannya ditambah baik dan dipertingkatkan.

"Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk bertanggungjawab bagi tujuan berkenaan (peluang ekonomi)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan majlis ramah mesra dengan penduduk di Pulau Aman, Pulau Pinang. 

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berkata produk sedia ada di pulau ini juga perlu ditambah nilai supaya mampu bersaing dengan yang di pasaran. 

"Saya rasa, banyak lagi yang boleh diusahakan di sini selain menambah nilai produk sedia ada. Di sini kawasan pantai, ada laut, ada bot dan ada juga produk lain seperti sangkar ikan. Cuba terokai peluang baru ini dan ambil kesempatan. 

"Jika kita hanya mengharapkan kerja sebagai nelayan, pendapatan yang diperoleh tidak seberapa. Rebutlah peluang yang ada supaya penduduk di sini tidak ketinggalan dengan arus permodenan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata hasrat Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya itu. 

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu masih boleh memainkan peranan untuk membantu jentera parti GERAKAN dan BN. 

"Saya tidak nampak ini (hasrat Koh untuk tidak bertanding) sebagai satu kelemahan, beliau boleh bekerja untuk parti walaupun tidak bertanding," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment