DR Mahathir Mohamad menyampaikan Anugerah Sains Mahathir 2011 kepada Profesor Yuan Long Ping sambil disaksikan oleh Tun Ahmad Sarji di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa saintis tempatan menghasilkan produk-produk berteknologi tinggi yang sesuai digunakan untuk semua iklim di dunia.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagi mencapai usaha tersebut, saintis mesti menjalankan kajian dan penyelidikan bukan sahaja di dalam negara yang beriklim tropika tetapi juga di negara-negara beriklim sederhana dan sejuk.
Menurutnya, saranan itu dibangkitkan kerana mendapati banyak produk serta kajian yang dilakukan oleh saintis dunia tidak mampu digunakan untuk negara beriklim sederhana dan panas.
"Sebagai contoh, kereta hibrid yang diuji di United Kingdom didapati berfungsi dengan optimum tetapi ia tidak dapat berfungsi dengan baik di negara ini.
Bagaimanapun, produk Malaysia, Proton telah berjaya berfungsi dengan sempurna di negara beriklim sejuk seperti Sweden," katanya pada majlis Anugerah Sains Mahathir (MSA) 2011 di sini, malam tadi.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Pengerusi MSA 2011, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd.Ali.
Pada majlis tersebut, Dr. Mahathir menyampaikan anugerah khas MSA kepada penyelidik China, Prof. Yuan Long Ping atau lebih dikenali sebagai Bapa Padi Hibrid.
Long Ping, 81, menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat emas dan sijil di atas pencapaiannya meningkatkan hasil padi yang merupakan makanan utama penduduk tropika.
Dr. Mahathir seterusnya percaya dan berharap saintis dunia khususnya pengkaji tempatan lebih berdaya maju dalam menghasilkan kajian yang berupaya digunakan bagi jangka masa panjang.
"Saya yakin kita mampu melakukannya tambahan pula hadiah anugerah ini kini ditingkatkan kepada RM608,000 atau (AS$200,000) berbanding sekarang," katanya.
Sementara itu, Maximus dalam ucapannya berkata negara menyasarkan untuk melahirkan 60,000 lulusan doktor falsafah (Ph.D) menjelang 2020 berbanding pada masa ini seramai 6,000 orang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment