My Add

Wednesday, 1 February 2012

Kerajaan sasar 3,000 restoran sertai program MR1M

PUTRAJAYA, EABU, 01 Februari, 2012: Kerajaan menyasarkan 3,000 restoran mengambil bahagian di bawah program 'Menu Rakyat 1Malaysia' (MR1M) pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini terdapat 1,126 restoran menyertai program tersebut dan sebanyak 1,874 restoran masih diperlukan bagi memenuhi sasaran.

Katanya, program MR1M yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lalu semakin menampakkan kejayaan dengan penglibatan pengusaha restoran pelbagai bangsa.

"Mengikut statistik terkini restoran Melayu yang terlibat adalah sebanyak 80 peratus, 13 restoran India, dua peratus restoran Cina dan selebihnya merupakan yang lain-lain.

"Program yang menawarkan pakej makanan dengan harga berpatutan bagi sarapan dan makan tengah hari ini adalah program sukarela, semua peniaga dan pemilik restoran boleh menyertainya," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Daud Tahir. Turut hadir Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed dan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju.

Menurut Ismail Sabri, harga yang ditawarkan di bawah program MR1M sangat berpatutan contohnya paling tinggi menu untuk sarapan pagi bagi restoran di Semenanjung adalah RM2 dan makan tengah hari pula hanya RM4.

"Pengunjung tidak perlu risau berhubung kenaikan harga untuk menu rakyat kerana pemantauan dilaksanakan setiap minggu oleh kementerian bagi memastikan peniaga dan pemilik premis makanan patuh dengan harga yang ditetapkan.

"Mana-mana pemilik yang tidak mematuhi harga ditetapkan akan dikeluarkan daripada program ini. Langkah ini untuk memastikan garis panduan diikuti dan rakyat mendapat hak yang sebenarnya. Walaupun harga makanan yang ditetapkan murah, kualitinya tetap diberi keutamaan" katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa menyokong penuh peranan yang dimainkan oleh Presma dalam menjayakan MR1M terutamanya di Semenanjung.

"Penglibatan aktif di kalangan ahli Presma amat menggalakkan. Saya berharap lebih ramai lagi ahli persatuan tersebut memasuki program ini kerana ia bukan sahaja dapat membantu rakyat malah akan menguntungkan lagi perniagaan masing-masing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment