Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR, , RABU, 01 Februari, 2012: Bagi kebanyakan warga kota Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada setiap 1 Februari setiap tahun sejak 38 tahun lalu hanyalah sekadar satu lagi hari cuti umum untuk penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Tetapi bagi sebahagian golongan, warga Kuala Lumpur khususnya, yang menyaksikan perubahan masa selama berpuluh tahun, Hari Wilayah ialah satu kebanggaan bagi mereka kerana menjadi sebahagian daripada aset yang sama-sama membangunkan wilayah ini.
Seorang pesara kerajaan, Ronie Ratnasingam, 66, berkata, dia yang sudah menetap hampir 50 tahun di sini mengakui Kuala Lumpur kini sudah jauh berubah.
Katanya, melalui pengalamannya hampir separuh abad di sini, dia telah menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Dari sebuah bandar biasa Kuala Lumpur kini telah pesat membangun dan menjadi mercu tanda kebanggaan negara serta menjadi tumpuan setiap warga dari seluruh negeri mencari rezeki.
Ujarnya, jika dahulu Kuala Lumpur bermula hanya seperti perkampungan biasa yang dihuni orang tempatan, namun keadaan sudah berubah sekarang apabila ibu negara bukan sahaja menjadi tumpuan warga negeri lain tetapi juga masyarakat luar negara.
Mengimbas kembali zaman awal hidupnya, Ronie yang menetap di Setapak berkata, dahulu kawasan itu sekadar kawasan kampung, namun kini sudah membangun dengan kewujudan pelbagai pusat-pusat beli-belah dan juga taman perumahan serba moden.
"Dulu kehidupan yang dilalui saya juga sangat sukar kerana kekurangan kemudahan asas seperti sekarang, namun kecekalan dan semangat membuat saya terus melalui kehidupan dalam keadaan sempurna.
"Setinggan-setinggan yang memenuhi kawasan Kuala Lumpur juga sudah tidak ada kini, penduduk juga dilihat sudah mempunyai penempatan yang lebih selesa berbanding dahulu," katanya.
Katanya lagi, dia tidak pernah membayangkan yang Kuala Lumpur akan gah seperti sekarang dengan kewujudan KLCC, Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lain-lain bangunan canggih yang meletakkan Kuala Lumpur sama taraf dengan bandar raya terkenal dunia yang lain.
"Namun dalam pada itu, saya juga berharap agar dapat dikekalkan beberapa buah kampung yang masih wujud di sini agar tidak ditelan pembangunan masa depan," katanya.
Seorang lagi pesara kerajaan, Muslim Mohsin, 60, berkata, selama 30 tahun menetap di Kuala Lumpur dia menyaksikan semuanya sudah berubah dengan pantas.
Pernah menetap di Gombak satu ketika dahulu yang hanya dipenuhi pokok getah dan perkampungan kecil sahaja, kini kawasan itu sudah dipenuhi taman-taman perumahan termasuk kondominium.
"Penduduk pula semakin ramai, ketenangan yang dikecapi satu ketika dahulu mungkin sukar lagi dicari pada masa kini," katanya.
Jika usia Ronie dan Muslim dipanjangkan tuhan, dia akan dapat menyaksikan lebih banyak perubahan berlaku di ibu negara dan menikmati kemudahan lebih canggih untuk penduduknya apabila projek My Rapid Transit disiapkan selain projek River of Life yang akan menjadikan Kuala Lumpur lebih indah. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment