My Add

Wednesday, 1 February 2012

KL di mata anak muda

KUALA LUMPUR, rabu, 01 FebruRI, 201:  Jan. - Saat kakinya melangkah keluar dari kampung yang terletak di Taiping, Perak, hajat Raqib Abdullah, 18, hanya satu iaitu ingin mencuba kehidupan baru di Kuala Lumpur.

Selepas sahaja menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak muda ini terus bertekad berhijrah bagi mencari rezeki yang dirasakannya terbentang luas di Kuala Lumpur.

Dengan peluang pekerjaan yang sangat mudah diperolehi, anak muda itu kini sudah bekerja di sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu kota.

Katanya, setelah dua bulan menetap di Kuala Lumpur, dia mendapati keadaan di sini sangat jauh bezanya berbanding tempat asalnya di Perak.

Katanya, di sini pelbagai peluang dapat diterokai dan yang paling jelas kelihatan, ibu kota ini sangat sibuk dan pesat membangun.

Ujarnya, walaupun mengakui mendapat pendapatan tinggi, namun di satu sudut lain dia juga terpaksa menempuh cabaran yang lebih besar kerana terpaksa menampung kos sara diri yang tinggi.

"Namun saya tetap gembira di sini, kerana situasi ini benar-benar menguji kemampuan saya menempuh 1,001 cabaran dan rintangan.

"Saya akan terus bekerja dalam mencari pengalaman yang pelbagai di sini, dalam masa yang sama saya juga sangat mengagumi kepesatan pembangunan Kuala Lumpur," katanya.

Seorang lagi anak muda, Maisarah Azmi, 23, yang berasal dari Johor Bahru berkata, sejak tiba di Kuala Lumpur tiga bulan lalu dia sudah memperoleh pekerjaan.

Katanya, walaupun gaji yang ditawarkan di sini lebih kurang sama dengan di tempat asalnya, namun kehidupan di ibu negara lebih mencabar.

Ujarnya, di sini memerlukan semua orang segera merebut peluang yang tersedia atau mereka akan ketinggalan.

"Saya akan menetap di sini beberapa tahun lagi untuk mencari pengalaman. Saya yakin pengalaman di Kuala Lumpur pasti menguatkan diri saya kelak," katanya.

Seorang pekerja kimpal, Yusof Abbas, 37, yang berasal dari Sabah berkata, dia sudah merantau ke Kuala Lumpur selama 13 tahun untuk mencari rezeki.

"Jika dahulu saya hanya menjadi petani di kampung, apabila berpeluang berhijrah ke sini, kehidupan dan pekerjaan saya jauh lebih baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment