My Add

Sunday 12 February 2012

151 kes baharu direkod

Mah Han Soon melawat seorang kanak-kanak yang menghidap wabak AGE, Lee Lee Wei di Hospital Tapah, semalam.

Oleh ASLIZA MUSA

TAPAH, SABTU, 11 Februari, 2012: Jabatan Kesihatan Perak merekodkan 151 kes baharu melibatkan wabak 'acute gastroenteritis' (AGE) yang menyerang dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Batang Padang.

Kes baharu itu melibatkan 111 kes di Hilir Perak manakala 40 lagi kes direkodkan di Batang Padang.

Penambahan kes baharu tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes itu sejak 27 Januari lalu meningkat kepada 2,544 iaitu 1,636 kes di Hilir Perak dan 908 di Batang Padang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon bagaimanapun berkata, kebanyakan pesakit sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Katanya, daripada laporan yang diterima selama dua hari bermula semalam, seramai tiga pesakit dimasukkan ke Hospital Teluk Intan manakala lapan pula dimasukkan ke Hospital Tapah.

''Daripada 26 kes yang dimasukkan ke hospital sebelum ini, seramai lapan pesakit daripada Hospital Teluk Intan telah pulih dan dibenarkan pulang manakala di Hospital Tapah pula seramai tiga pesakit.

''Walaupun terdapat penambahan kes baru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana wabak tersebut masih berada dalam keadaan terkawal dan kes yang dirujuk ke hospital pula semakin berkurangan," katanya di sini hari ini.

Hang Soon berkata, Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil sampel air di lima lokasi punca air utama di daerah Batang Padang dan Hilir Perak termasuk di Taman Highland dan Loji Air Bukit Temoh di sini.

Langkah itu katanya, dibuat bagi mengesan punca utama penularan wabak berkenaan di negeri ini.

Beliau memberitahu, kesemua sampel tersebut akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk diuji oleh Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.

''Bagi proses pengambilan sampel ini, kita melakukan kaedah penapisan yang mengambil masa selama lima jam menggunakan mesin penapis air," ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada kajian tersebut dijangka diperoleh Isnin depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment