My Add

Sunday 12 February 2012

Logo dan lagu rasmi Tahun Sains 2012 dilancarkan

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 201: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan logo serta lagu rasmi Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) sebagai acara pembuka tirai menyambut tahun berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, pelancaran itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan matlamat Wawasan 2020 dapat dicapai menerusi transformasi sains dan teknologi.

"Kerajaan sememangnya telah berusaha keras di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pembangunan ekonomi dengan dipandu oleh kemajuan sains dan teknologi.

"Kementerian akan terus berusaha dalam memberi penekanan dan pendedahan kepada masyarakat umum mengenai kepentingan sains dan teknologi demi pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo dan Lagu SGI2012 di Pusat Sains Negara di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Madinah Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd. Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.

SGI2012 akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri di Putrajaya pada 24 Mac ini.

Tambah Ongkili, kira-kira 300 program induk telah diatur di seluruh negara menampilkan empat segmen iaitu Sains dan Matematik; Kesedaran dan Pembudayaan Inovasi; Pengkomersilan dan Pameran serta Inovasi Perkhidmatan dan Pengurusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment