My Add

Friday 24 February 2012

2 pekerja menggigil: Kedai dimasuki perompak bersenjata

Oleh AZIAN AZIZ

KUALA LANGAT, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Dua pekerja sebuah kedai emas di Jalan Bunga Pekan, Banting di sini menggigil ketakutan apabila tiga daripada lima penjenayah bertopeng tiba-tiba masuk ke premis tempat mereka bekerja.

Ketika kejadian pukul 1.05 petang itu, dua pekerja kedai emas berkenaan, M. Kathi, 28, dan R. Puvaneswari, 25, sedang menunggu pelanggan.

Turut berada di dalam premis ialah bapa kepada pemilik kedai emas yang berusia lingkungan 60-an.

Kathi yang ditemui pemberita berkata, sebelum rompakan berlaku kawasan kedainya tiada pelanggan dan memberi kesempatan kepadanya dan Puvaneswaran berbual kosong.

“Tiba-tiba tiga lelaki bertopeng yang salah seorang memegang pistol dan dua lagi memegang tukul besi masuk ke dalam premis.

“Mereka langsung tidak bersuara dan terus memecahkan cermin pameran lalu mengaut barangan kemas di dalam dulang. Di luar kedai ada dua lagi lelaki menunggu dan salah seorang berada di dalam kereta.

“Oleh kerana ketakutan, saya, Puvaneswari dan bapa saya duduk setempat dengan badan menggigil,” kata M. Khati ketika menceritakan detik cemas ketika premis tempat kerjanya dirompak di sini petang ini.

Ujar Khati, tidak sampai beberapa minit, kesemua penjenayah itu beredar dari kedai menaiki sebuah kereta.

Tambahnya, mereka juga tidak mencederakan sesiapa dan tidak melepaskan tembakan.

Sementara itu, Puvaneswari pula memberitahu, ini adalah kali pertama tempat kerjanya dirompak selepas lima tahun dibuka.

“Kejadian sangat pantas dan sampai sekarang saya masih terbayang apa yang berlaku. Kejadian dapat dirakam kerana kedai kami ada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment