My Add

Monday 13 February 2012

22 pelajar, seorang pensyarah dijangkiti Chikungunya

PUTRAJAYA, ISNIN, 13 Februari, 2012: Seramai 22 pelajar dan seorang pensyarah kolej swasta di Kuang, Selangor, didapati positif menghidap Chikungunya. 

Perkara ini disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, hari ini.

Beliau berkata mereka adalah antara 88 pelajar dan enam pensyarah yang menghadiri kursus di sebuah pusat peranginan di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak, pada 17 hingga 19 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan di sini, Dr Hasan berkata seramai 53 pelajar dan pensyarah berkenaan mengalami deman, batuk, sakit badan, kepala dan sendi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dari 6 hingga 9 Februari lalu. 

"Sembilan daripada mereka dimasukkan ke wad kerana memerlukan pemantauan dan rawatan lanjut. Semua kes yang dimasukkan ke wad dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya. 

Dr Hasan berkata, keputusan ujian makmal terhadap 53 sampel darah diambil daripada pelajar dan pensyarah berkenaan mempunyai gejala dan 22 kes yang mendapatkan rawatan di PPUM, disahkan positif penyakit Chikungunya. 

Katanya, ujian antibodi menunjukkan dua sample adalah negatif manakala 29 lagi kes masih menunggu keputusan.

"Seorang pensyarah yang mengalami deman, sakit kepala, muntah dan batuk disahkan positif Chikungunya dan Leptospirosis," katanya. 

Dr Hasan berkata, sebanyak 23 kes Chikungunya dilaporkan sehingga semalam sementara kes pertama tahun ini berlaku di Johor iaitu Sabtu lalu. 

Beliau berkata, jangkitan Chikungunya berpunca daripada virus dan disebarkan daripada satu individu kepada individu lain oleh nyamuk Aedes, dan penyakit mudah merebak terutama di kawasan populasi nyamuk yang tinggi serta di tempat pembiakannya. 

"Pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati tempat di mana pesakit menginap di pusat peranginan di Pulau Pangkor itu mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi sehingga lima peratus. 

"Ini juga terdapat di sekitar kolej pelajar dan pensyarah di Kuang, Selangor," katanya. 

Dr Hasan berkata, sebanyak 30 kes Chikungunya dilaporkan tahun lalu berbanding 804 pada 2010, iaitu penurunan sebanyak 776 kes atau 96 peratus. 

"Hanya satu kejadian wabak Chikungunya sahaja dilaporkan sepanjang 2011 dan 2010," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment