My Add

Wednesday 8 February 2012

50 kejadian bencana di Indonesia sepanjang Januari

JAKARTA, RABU, 08 Februari, 2012: Sejumlah 50 kejadian bencana melanda Indonesia sepanjang Januari tahun ini, dengan sebahagian besar daripadanya berupa bencana hidrometeorologi, dan mengakibatkan sejumlah 41 orang terbunuh atau hilang.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, bencana itu termasuklah tanah runtuh, banjir, kebakaran, gempa bumi, kemalangan jalan raya, gelombang laut pasang dan puting beliung.

Puting beliung merupakan penyumbang kejadian bencana terbanyak iaitu 23 kejadian, melibatkan 25 daerah atau bandar di Indonesia.

"Kejadian ini (puting beliung) menyebabkan 16 orang meninggal dunia dan hilang, 420 orang mangsa perlu ditempatkan di pusat pemindahan, 477 unit rumah rosak teruk, 83 rumah rosak sederhana dan 2,270 unit rumah mengalami kerosakan kecil.

"Secara keseluruhan kejadian sepanjang Januari 2012 menyebabkan 41 orang meninggal dunia atau hilang,” kata BNPB.

Pada musim hujan kali ini, bukan sahaja bencana puting beliung yang mendominasi, malah banjir juga menjadi ancaman tersendiri.

Lebih 15 kejadian banjir berlaku pada bulan Januari di lebih 20 daerah atau bandar.

BNPB meramalkan bencana puting beliung dan tanah runtuh akan terus berlaku pada musim hujan tahun ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment