My Add

Wednesday 8 February 2012

Berhati-hati keluarkan kenyataan berkempen

SEREMBAN, RABU, 08 Februari, 2012: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua pihak terutama pembangkang agar mempunyai tanggungjawab dalam melaksanakan sebarang perkara untuk memenangi hati rakyat terutama dengan tidak menyentuh isu-isu perkauman.

Katanya, keghairahan pembangkang yang mula mengeluarkan kenyataan berbentuk kempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang dengan menyentuh isu-isu sensitif, ia dibimbangi akan menyebabkan pihak tertentu termasuk rakyat hilang sabar sehingga berlaku perkara yang tidak diingini.

"Jadi apabila mahu bercakap untuk berkempen, kempenlah. Kalau mahu cakap mahu tawan Negeri Sembilan, cakaplah. Tapi mesti berhati-hati dengan apa yang anda cakap.

"Sebab ramai orang yang sudah tidak boleh terima lagi. Orang ada perasaan dan cara mereka berkempen itu amat tidak baik sekali dan amat tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Taufek Abdul Ghani baru-baru ini yang menyatakan parti itu telah mengenalpasti lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi dimenanginya pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, jika pembangkang dalam keghairahan mereka untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, terus mengeluarkan kenyataan kempen yang tidak disenangi, ia mungkin membawa kepada sesuatu yang tidak baik kepada negara.

"Kebelakangan ini saya tengok orang terlalu bernafsu sangat (mengeluarkan kenyataan kempen), tapi kita kena jaga perasaan semua pihak,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment