My Add

Monday 6 February 2012

600,000 bekas pelatih PLKN bakal sertai BSKN

BAGAN DATOH, AHAD, 06 Febeuari, 2012: Seramai 600,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijangka menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan tersebut membolehkan mereka meneruskan kesinambungan menyumbang kepada masyarakat dengan menjalankan kerja-kerja sukarela melalui khidmat komuniti.

Kata beliau, ia juga dapat merapatkan hubungan dalam kalangan bekas pelatih PLKN.

“Setakat ini, kita menyediakan sekretariat briged di setiap kem PLKN bagi membolehkan bekas-bekas pelatih kem berkenaan mendaftar diri.

“Namun bagi mereka yang tinggal jauh dari kem berkenaan, mereka boleh mendaftar dengan kem yang terletak berhampiran kediaman masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kampung Sungai Lanchang, Jalan Pasang Api di sini, semalam.

Ahmad Zahid memberitahu, walaupun sekretariat itu ditubuhkan di bawah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) namun ia dianggotai sukarelawan PLKN dan bukan dalam kalangan pegawai JLKN.

Menurutnya, berbanding agensi sukarelawan lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela), BSKN lebih berstruktur kerana dianggotai oleh bekas pelatih PLKN yang pernah menyertai kursus-kursus yang mempunyai elemen perpaduan.

“Kerja-kerja sukarela ini tidak tertakluk apabila berlaku kecemasan sahaja tetapi mereka boleh merancang untuk mengadakan khidmat masyarakat berbentuk gotong-royong contohnya membersihkan surau, masjid dan membaik pulih rumah warga emas.

“Oleh itu, kita menyeru semua bekas pelatih PLKN di seluruh negara agar segera mendaftar diri mereka di kem-kem PKLN yang berdekatan,” katanya.

Ditanya soal elaun yang bakal diberikan kepada sukarelawan BSKN, beliau berkata, elaun yang akan diberikan cuma satu insentif dan bukan segala-galanya.

“Apa yang penting, sukarelawan ini dapat mewujudkan jalinan perpaduan dalam kalangan bekas pelatih PLKN seterusnya meneruskan sumbangan mereka kepada masyarakat,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment