My Add

Monday 6 February 2012

Ibadah haji 'ekspres' tidak sah - Nooh Gadut

KUALA LUMPUR, AHAS, 06 Februari, 2012: Jemaah haji yang menggunakan khidmat ekspres bagi menunaikan rukun Islam kelima itu boleh menyebabkan ibadah yang dikerjakan mereka tidak sah.

Tokoh agama, Datuk Nooh Gadut berkata, perbuatan itu boleh disamakan seperti menggunakan wang haram dan tidak mendapat haji yang mabrur.

"Apa maknanya pergi menunaikan haji dengan cara ini. Ia ibarat pergi haji dengan duit haram. Ada pendapat yang kata ia (ibadah) sah tetapi tidak mendapat apa-apa.

"Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara dan ini hanya menunjukkan kebodohan kita. Jika kita laksanakannya tanpa mengikut syarak, maka tidak lengkaplah rukun haji seseorang itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai sindiket 'haji ekspres' yang menawarkan orang ramai peluang menunaikan ibadat haji lebih awal dengan cara melangkau giliran orang lain.

Nooh yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Johor berkata, perbuatan itu juga haram disebabkan terdapat unsur rasuah, penipuan dan tidak amanah kerana mengambil hak orang lain.

"Orang yang pergi menunaikan fardu haji adalah orang yang telah bertaubat, tetapi jika dia pergi dengan cara ini ia seperti pergi membuat maksiat.

"Saya ingin menggunakan lampu isyarat sebagai contoh, iaitu hijau tandanya berjalan, kuning bersedia untuk berhenti dan merah apa tandanya, merah ialah berhenti.

"Apa akan jadi jika tidak mengikutinya, maka huru-haralah jalan raya. Begitu juga menunaikan haji, kita perlu mengikut saluran dan prosedur yang ditetapkan untuk mengelak daripada ibadah itu sia-sia sahaja," katanya.

Tambahnya, jika seseorang itu tidak berkesempatan menunaikan haji, namun sudah mendaftar dan hanya menunggu giliran, maka ia juga sudah diterima Allah SWT.

"Masih ramai yang tidak memahami hukum haji. Jika kita sudah ada niat dan telah berdaftar tetapi tidak sempat menunaikannya kerana meninggal dunia misalnya, tidak mengapa kerana ia turut diterima," katanya.

Justeru, Nooh menasihatkan bakal jemaah haji agar mengikut prosedur yang ditetapkan dan bersabar menunggu giliran bagi mendapatkan haji yang mabrur.

"Sepatutnya orang muda yang masih bertenaga, berilah laluan kepada bakal jemaah yang lebih berusia agar mereka berkesempatan menunaikannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment