My Add

Sunday 19 February 2012

ALIS mampu atasi 'pengundi hantu': Hishammuddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Februruari, 2012: Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (ALIS) yang dilancarkan pada Disember lalu mampu menyelesaikan isu pengundi hantu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Katanya, pelaksanaan sistem ini juga dapat menambah baik dan mengemaskinikan segera segala data mengenai daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selaras dengan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).

"ALIS, selain memudahkan urusan mendapatkan permit untuk pengkebumian dan sijil kematian, turut berkongsi maklumat di antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lapan agensi kerajaan lain, termasuk SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berharap dengan adanya sistem ini "isu wujudnya pengundi hantu seperti yang didakwa pihak tertentu tidak lagi timbul dan dijadikan bahan politik murahan untuk mengelirukan rakyat." 

Melalui ALIS, laporan kematian seorang pengundi akan disalurkan terus kepada semua agensi yang berkongsi maklumat melalui dalam talian, termasuk SPR, dan akan membantu suruhanjaya itu bertindak mengemaskinikan data daftar pemilih dengan mengeluarkan nama si mati sebagai pengundi. 

Hishammuddin berkata, sebelum ini SPR tidak boleh sewenang-wenangnya membuang nama pengundi yang didakwa sudah meninggal dunia jika tidak dibuktikan oleh waris si mati dengan sijil kematian yang dikeluarkan JPN. 

"Dengan pelaksanaan sistem ini, kini waris si mati hanya perlu membuat satu laporan untuk mendapatkan permit bagi pengkebumian dan sijil kematian di balai polis, hospital atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment