My Add

Monday 20 February 2012

Aman Kampus bantu mahasiswa fahami dasar kerajaan

RAZAK Ibrahim (tengah) bersama sebahagian peserta Program Aman Kampus Kembara Mahasiswa Bersama Masyarakat di Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR, AHAD, 19 Februari, 2012:  Program 'Aman Kampus Kembara Mahasiswa Bersama Masyarakat' diyakini dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan mahasiswa untuk terus menyokong dan memahami setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, penglibatan mahasiswa di dalam program itu juga meningkatkan keyakinan pucuk pimpinan bahawa mahasiswa bersedia menggalas dan memikul tangggungjawab untuk membina negara.

"Mesej aman yang dibawa melalui program ini membawa konotasi besar pada masa ramai rakyat terutamanya mahasiswa di Syria dan Mesir yang bangkit menggunakan kuasa menggulingkan kerajaan atas nama kebebasan, tetapi tidak sedar keamanan hilang begitu sahaja meskipun kebebasan tercapai.

"Ini kerana kebebasan tidak membawa keamanan. Kita perlu memelihara keamanan dan selepas itu, kita bebas buat apa sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penghargaan program itu di sini, hari ini.

Razali berkata, pindaan yang bakal dilakukan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan mewujudkan keselesaan dan keamanan di tempat mahasiswa belajar.

"Melalui pindaan akta ini, keadilan untuk mahasiswa (berpolitik) terlaksana dan pada masa sama kecemerlangan di kampus diutamakan.

Program itu yang disertai 180 peserta daripada 22 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bermula 6 Februari lepas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan meneruskan perjalanan ke Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan berakhir di Sungai Besar, Selangor hari ini.

Acara kemuncak program itu ialah Himpunan Aman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anak muda yang bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 17 Mac depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment