KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Penerangan ASEAN (AMRI) Ke-11 mulai esok (28 Februari) hingga 1 Mac ini.
Persidangan ini yang merupakan lanjutan keputusan yang dibuat semasa Persidangan AMRI Ke-10 di Vientiane, Laos pada tahun 2009 akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Bukit Bintang di sini.
Delegasi yang akan menyertai persidangan ini ialah dari negara-negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Laos, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Filipina, Thailand dan Singapura.
Turut sama ialah Sekretariat ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Republik Korea.
Bertemakan Media: Mengakrabkan Hubungan, Menjalin Budaya Ke Arah Komuniti Satu ASEAN(Media: Connecting Peoples and Bridging Cultures Towards One ASEAN Community), persidangan ini akan membincangkan beberapa isu mengenai penerangan dan penyiaran bagi meningkatkan kerjasama antara negara anggota ASEAN.
Persidangan ini diadakan dalam dua peringkat iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan (SOMRI) dan SOMRI + 3 (China, Jepun dan Republik Korea) pada 28 dan 29 Februari yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf manakala Mesyuarat Menteri-menteri (AMRI) dan AMRI + 3 (China, Jepun dan Republik Korea) pada 1 Mac dipengerusikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Majlis perasmian persidangan AMRI Ke-11 akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac.
Persidangan AMRI memainkan peranan penting dalam mempromosi dan meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang penerangan dan penyiaran sejak Persidangan AMRI yang pertama di Jakarta, Indonesia pada tahun 1989.
Menerusi persidangan ini pelbagai dasar dan pendekatan ke arah pembangunan dan kemajuan bidang penerangan dan penyiaran di rantau ini telah disediakan.
Antara inisiatif penting persidangan AMRI setakat ini adalah kerjasama dalam menangani laporan negatif media asing, kerjasama dalam menangani cabaran kemajuan ICT, kerjasama dengan sektor-sektor lain di ASEAN dalam menangani isu-isu penting seperti krisis ekonomi, perubahan iklim, jaminan makanan, keamanan sejagat dan lain-lain serta kerjasama dalam Penyiaran Digital ASEAN.
Persidangan kali ke-10 lalu diadakan di Vientiane pada 3 - 5 November 2009 dan dipengerusikan oleh Mounkeo Oraboun, Menteri Penerangan dan Kebudayaan Laos.
Persidangan berkenaan telah mencapai persetujuan para menteri bahawa tema persidangan AMRI Ke-10 "Enhancing Media Cooperation in ASEAN Community Building" adalah tepat pada masanya dan sesuai memandangkan sektor maklumat memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan semangat kekitaan dan meningkatkan pemahaman yang lebih mendalam bersama di kalangan negara anggota ASEAN tentang budaya, agama, sejarah dan tamadun.
Selain itu, persidangan itu juga bersetuju mengenai keperluan untuk mendalami rangkaian media dan pembangunan sumber manusia.
Persidangan dua tahun sekali di kalangan negara anggota ASEAN secara giliran ini juga akan menyaksikan Laos menyerahkan jawatan Pengerusi AMRI kepada Malaysia dan Myanmar sebagai Naib Pengerusi.
Sementara itu, Rais berkata, Malaysia akan mengemukakan isu media sosial yang semakin berkembang ketika ini untuk dibahaskan.
''Perhimpunan ini akan membuka lembaran baru berhubung dengan isu kemanusiaan yang baru iaitu kessan social media atau media sosial.
''Oleh itu, para menteri ASEAN yang bertanggungjawab mengenai informasi atau penerangan perlu membincangkan hal ini dan bagaimana kita wajar bertukar-tukar pendapat dan juga dasar semoga ASEAN harmonis dalam keadaan kita mengendalikan media sosial yang diperkatakan begitu banyak pada saat ini,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment