My Add

Tuesday, 28 February 2012

Nilai perdagangan Malaysia-Pakistan meningkat

MUKHRIZ Tun Mahathir berbincang sesuatu bersama Salim Fateh Din (tengah) sambil diperhatikan Bashir Jan Muhammad (kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Kali Pertama Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan di Menara Matrade, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNI, 27 Februari, 2012: Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan meningkat sebanyak 15.97 peratus kepada RM8.47 bilion tahun lalu berbanding RM7.29 bilion pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, nilai eksport Malaysia ke Pakistan mencecah RM7.7 bilion tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 12.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, minyak kelapa sawit menyumbang nilai eksport terbesar negara ke Pakistan iaitu sebanyak RM6.07 bilion diikuti produk kimia (RM442 juta); barangan elektrik dan elektronik (RM242 juta); jentera, peralatan dan alat ganti (RM142 juta) serta makanan diproses (RM102 juta).

Beliau menambah, nilai eksport Pakistan ke negara ini sepanjang 2011 berjumlah RM764 juta, menyebabkan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia sebanyak RM6.94 bilion.

''Kita sedang berusaha untuk menarik minat syarikat tempatan mengimport produk keluaran Pakistan ke negara ini agar nilai perdagangan kedua-dua negara lebih seimbang.

''Selain itu, delegasi perniagaan dari Pakistan mengesyorkan agar kita memberi pertimbangan sewajarnya terhadap produk keluaran mereka khususnya yang berkaitan bidang pertanian," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Kali Pertama Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan di Bangunan Matrade, di sini hari ini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP), Tariq Iqbal Puri; Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan, Datuk Salim Fateh Din dan Bashir Jan Muhammad serta Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh.

Sementara itu, Mukhriz memberitahu, sebanyak 7,229 Sijil Negara Asal (COO) dengan nilai dagangan RM6.8 bilion dikeluarkan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Pakistan sepanjang tahun lalu.

Jelas beliau, jumlah tersebut menunjukkan bilangan COO dikeluarkan meningkat sebanyak lima peratus dan nilai dagangan bertambah 22.2 peratus berbanding 2010.

''Saya menjangka lebih banyak COO akan dikeluarkan tahun ini memandangkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk dari Pakistan," katanya. -  UTUSAN

No comments:

Post a Comment