My Add

Saturday 25 February 2012

Angkara 'Erdogan'

Oleh Haspaizi Mohd Zain dan Siti Fatimah Mohamed Anwar

Cubaan singkir MB Kedah, usaha sekat pengaruh golongan ulama dalam Pas

KUALA LUMPUR: Cubaan menyingkirkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan didalangi oleh 'Kumpulan Erdogan' dalam parti itu yang sedang berusaha menyekat pengaruh golongan ulama dalam Pas.

Kumpulan berkenaan dikatakan diketuai seorang pemimpin Pas pusat yang merancang tekanan terhadap Azizan kerana kurang senang dengan corak pentadbirannya yang bercanggah dengan kehendak pakatan pembangkang, khususnya PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber, tindakan Azizan yang menyokong penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), baru-baru ini menambah lagi kemarahan kumpulan berkenaan kerana PKR dan pembangkang mahu AUKU dihapuskan sepenuhnya.

“Alasan mereka adalah Azizan mentadbir Kedah dengan membelakangi pemimpin Pas tempatan. Mereka sengaja mengenakan tekanan bagi melihat sejauh mana Menteri Besar mampu bertahan dan memberi isyarat bahawa Azizan tidak perlu lagi dilantik selepas pilihan raya akan datang.

“Ada beberapa kawasan di Kedah yang sememangnya menjadi tulang belakang kepada usaha menyingkirkan Azizan, turut mendapat sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dengan tunjang utamanya adalah seorang pemimpin Pas pusat.

“Mereka tidak suka dengan pendekatan Azizan dengan mendakwa bersifat kuku besi. Ketegasannya ada kala bertentangan dengan pendirian pakatan rakyat. Ini kurang menyenangkan mereka. selain kegagalan menguasainya supaya mengikut telunjuk pakatan,” katanya semalam.

Usaha untuk menjatuhkan Azizan dan kumpulan ulama dalam PAS sememangnya dirancang sejak dulu lagi apabila bulan September tahun lalu ada pihak menyebarkan khabar angin menyatakan Menteri Besar Kedah akan melepaskan jawatan kerana masalah kesihatan.

Katanya, selepas Pas menang di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu, Azizan yang dilantik sebagai Menteri Besar bukan saja tidak mesra dengan pemimpin PAS, malah tidak sehaluan dengan pakatan rakyat dalam isu tertentu.

Kelantangan Azizan mengkritik buku jingga juga menyebabkan sekutunya PKR dan DAP kurang menyenanginya.

Katanya, selepas berjaya menyingkir bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa pada pemilihan parti itu tahun lalu serta pemecatan bekas EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang lantang mengkritik perubahan perjuangan PAS, kumpulan berkenaan kini mahu menyingkirkan Azizan pula.

Sementara itu, menurut satu sumber lain, gerakan itu sudah lama dirancang oleh beberapa EXCO Kedah yang tidak sehaluan dengan Azizan dan bibit keretakan yang bermula sejak beberapa tahun lalu, semakin kritikal selepas Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 29 Julai tahun lalu.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga EXCO paling kanan dalam pentadbiran Azizan didakwa sudah lama ‘makan hati’ dan tidak ‘sebulu’ dengan sikap dan kepemimpinan Azizan.

Difahamkan, tindakan berani Phahrolrazi menghantar surat kepada Azizan supaya tidak dilantik semula ke jawatan EXCO, mempengaruhi beberapa EXCO lain yang tidak menyenangi Azizan termasuk Datuk Dr Ismail Salleh. 

“Kemungkinan mereka menyifatkan ini masa yang sesuai untuk memberi tekanan kepada Menteri Besar supaya melepaskan jawatan. Pejabat Phahrolrazi di Wisma Darulaman sudah dikosongkan sejak beberapa hari lalu. Namun, tiga lagi EXCO yang disebut-sebut akan menyertainya belum mengosongkan pejabat,” katanya.

Difahamkan, surat jemputan menghadiri Majlis Pelantikan Semula EXCO Kedah di Istana Anak Bukit pada Selasa ini, sudah dihantar kepada 10 EXCO Kedah sejak tiga hari lalu. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment