My Add

Saturday 25 February 2012

Seleweng pasir di Selangor: Banyak lagi akan tampil

TANJONG KARANG, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Beberapa pihak lagi dijangka tampil mendedahkan isu penyelewengan pasir di Selangor dalam masa terdekat walaupun kerajaan negeri terus menafikannya, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan Selangor perlu berdepan dengan realiti bahawa berlakunya ketidaktelusan berhubung isu pasir di negeri ini dan tidak boleh menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya percaya akan ada lagi pendedahan yang dibuat mengenai isu pasir ini seperti yang dilaporkan oleh media hari ini.

"Kerajaan negeri pastinya akan mencari alasan termasuk terus menggunakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya di sini, hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang mendedahkan aktiviti mencuri pasir berleluasa di Rawang, Hulu langat dan Semenyih.

Laporan itu turut mendedahkan aktiviti mencuri pasir di tiga kawasan terbabit mengaut keuntungan lumayan minimum RM30,000 sehari dan terus berleluasa serta diteruskan walaupun sudah dikenakan tindakan undang-undang ekoran tiada pemantauan oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan Selangor akan terus menggunakan Selcat bagi menutup kelemahan mereka kononnya telus dalam menangani sesuatu isu yang didedahkan.

"Bagi saya Selcat hanyalah gimik politik kerajaan Selangor yang lebih berminat mencari kesalahan kerajaan persekutuan bukannya mendedahkan apa yang dibangkitkan terutamanya isu berhubung skandal pasir di negeri itu,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah rakyat merupakan satu kaedah terbaik sekiranya kerajaan Selangor serius untuk menyelesaikan isu pasir yang dibangkitkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment