My Add

Friday 17 February 2012

Atasi masalah pengundi hantu

MAHMOOD Adam (enam dari kiri) bersama para penerima sijil penghargaan kerana terbabit dalam menjayakan sistem pelaksanaan dokumen baru Daftar Kematian/Permit Mengubur pada majlis pelancarannya di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd. Said (lima dari kiri) dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, Datuk Abdul Rahim Hanafi (empat dari kiri).

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, KHAMIS, 16 Februari, 2012:  Masalah pengundi hantu dijangka dapat diselesaikan dengan lebih komprehensif berikutan langkah kerajaan memperkenalkan kaedah baru untuk melaporkan sesuatu kematian pada Disember lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, menerusi kaedah itu, satu pangkalan data yang merekodkan senarai kematian terbaru diwujudkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Menerusi cara itu, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mudah menyemak senarai pengundi terkini berbanding sebelum ini.

"Kerjasama erat antara JPN dan SPR dalam menangani isu ini seharusnya dipuji dan kementerian yakin masalah berbangkit setiap kali menjelang musim pilihan raya tidak akan timbul lagi," katanya.

Menurut Mahmood, SPR sering dikatakan gagal melakukan pembersihan daftar pengundi apabila ada individu yang sudah meninggal dunia masih tidak dikeluarkan daripada senarai pengundi.

"Bagaimanapun dengan adanya kedah terbaru ini, segala masalah berbangkit akan dapat diselesaikan dengan hanya satu laporan di balai polis, hospital atau pejabat JPN sendiri.

"Rekod tersebut akan terus sampai ke mana-mana agensi yang diperlukan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahmood melancarkan dokumen baru Daftar Kematian, Permit Mengubur dan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat terbabit yang menjayakan kedah baru itu.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said.

Menurut Mahmood, kaedah baru yang dikuatkuasakan pada 1 Disember tahun lalu itu selaras dengan kelulusan Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 39(h) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), baru-baru ini.

Katanya, melalui kaedah baru itu, pemaklum hanya perlu membuat satu laporan sahaja, sebelum diberi satu salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN yang akan digunakan bagi urusan pengebumian jenazah.

"Serentak itu juga, laporan kematian tersebut diterima dan didaftarkan di JPN dan pemaklum hanya perlu hadir ke JPN bagi mendapatkan Sijil Kematian sahaja," katanya.

Mahmood berkata, kaedah baru itu akan dapat mengatasi kerenah birokrasi kerana pemaklum hanya perlu melaporkan sekali sahaja bagi sesuatu kematian untuk mendapatkan dua dokumen iaitu Permit Mengubur dan Sijil Kematian.

Katanya, ia berbeza dengan prosedur sebelum ini yang memerlukan pemaklum membuat laporan kematian sebanyak dua kali iaitu di agensi pengesah kematian bagi mendapatkan Permit Mengubur dan membuat laporan kedua di JPN untuk memohon Sijil Kematian.

"Sehubungan itu, kementerian berharap inovasi baru itu dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan JPN mengemas kini Sistem Informasi Rekod Kependudukan Negara melalui perkongsian maklumat di antara JPN dan agensi kerajaan yang lain, khususnya kepada SPR.

"Perkongsian maklumat ini secara langsung dapat membantu SPR dalam usaha mengemas kini rekod kematian di dalam daftar pemilih secara dalam talian melalui Agency Link Up System (ALIS)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment