My Add

Friday 17 February 2012

Jelaskan pendirian pakatan

HASAN Ali bersama Aidit Ghazali (kiri) dan Nor Azizan Abd Majid pada sidang media penubuhan Jati di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, KHAMIS 16 Februari, 2012:  Jalur Tiga (Jati), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali tidak akan terlibat dalam mana-mana kempen pilihan raya atau bertanding atas tiket pertubuhan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Jati menegaskan, penubuhan NGO berkenaan bertujuan memartabatkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja dan bukannya memperjuangkan nasib pihak tertentu dalam politik.

Bagaimanapun kata beliau, mana-mana ahli Jati yang mahu menyertai pilihan raya, mereka tidak dilarang berbuat demikian tetapi tidak boleh menggunakan nama pertubuhan tersebut untuk meraih sokongan orang ramai.

"Kalau ahli-ahli Jati ingin bertanding, mereka boleh lakukan atas tiket kerusi Bebas atau mewakili mana-mana parti pilihan mereka, tetapi kita tidak benarkan mereka menggunakan nama Jati," katanya pada sidang akhbar pra pelancaran Jati di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Hadir sama Anggota Jawatankuasa Penaja Jati, Datuk Mohd. Aidit Ghazali Hasan memberitahu, pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana NGO yang turut memperjuangkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja (IMR).

Katanya, penubuhan Jati bukan bertujuan mewujudkan persaingan antara NGO di negara ini termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebaliknya demi kepentingan bersama untuk memartabatkan ketiga-tiga agenda berkenaan.

"Jati sedia bekerjasama dengan mereka (NGO lain) sama ada mewujudkan hubungan atau menganjurkan program bersama selagi mereka mempunyai tiga elemen itu (IMR)," ujarnya yang memberitahu Jati akan menjadi pelengkap kepada pertubuhan lain yang mempunyai matlamat sama.

Hasan seterusnya menasihati masyarakat bukan Islam supaya tidak bimbang dengan penubuhan Jati yang akan dilancarkan di SACC pada 21 Februari ini kerana hak mereka tetap dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pendaftaran ahli Jati akan dibuka pada majlis pelancaran tersebut yang bakal dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pelbagai golongan, manakala pelancaran peringkat negeri akan dilakukan di Perak pada 27 Februari ini.

Tambah beliau, pihaknya telah menghantar semua dokumen yang diperlukan bagi pendaftaran Jati kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan dengan sokongan orang ramai, keahlian pertubuhan itu akan diperluaskan di peringkat negeri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment