My Add

Saturday 25 February 2012

Bakar al-Quran: Pemuda Pas serah memo



SEBAHAGIAN penyokong Pas membantah di atas tindakan tentera Amerika Syarikat membakar al-Quran di Afghanistan di hadapan kedutaan negara itu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Dewan Pemuda Pas hari ini menyerahkan memorandum di Kedutaan Amerika Syarikat di sini bagi membantah tindakan tentera negara tersebut membakar al-Quran di Afghanistan.

Penyerahan itu diketuai Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan diiringi kira-kira 200 penyokong yang berarak dari Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat pukul 2.45 petang.

Para penyokong membawa beberapa kain rentang tertulis al-Quran adalah Jiwa dan Maruah Kami, Hancur Yahudi, Kami Tolak Pengkhianat al-Quran, Jahanam Amerika dan Respect Our Quran.

Puluhan anggota keselamatan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat berkawal di pekarangan kedutaan tersebut bagi mengelak sebarang insiden buruk berlaku.

Memorandum dua muka surat yang ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama itu diterima pegawai kedutaan tersebut.

Ia mendesak supaya pihak terbabit mengambil tindakan undang-undang terhadap tentera yang bertanggungjawab selain mencari penyelesaian bagi meredakan kemarahan umat Islam seluruh dunia berhubung insiden tersebut.

Menurut Nasruddin, Dewan Pemuda Pas mengutuk tindakan biadap tentera Amerika Syarikat yang membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan Pangkalan Udara Afghanistan.

“Tindakan itu dilihat satu penghinaan terhadap penganut agama Islam yang dilakukan kerana puak tentera tersebut menafsir al-Quran itu jahat dan menganjurkan pengikutnya bersifat ganas dan radikal.

“Insiden tersebut dilihat cuba menimbulkan sentimen permusuhan terhadap penganut Islam yang secara tidak langsung menjadikan suasana negara-negara Islam tidak kondusif.

“Minta maaf sahaja tidak mencukupi untuk mententeramkan isu ini, kerajaan Amerika Syarikat perlu berjanji kepada seluruh umat Islam insiden tersebut tidak boleh berulang lagi,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan AS dan komander tentera AS yang memimpin tentera NATO sebelum ini telah meminta maaf di atas insiden yang mereka anggap tidak disengajakan itu, selepas rakyat Afghanistan menemui cebisan sejumlah al-Quran terbakar ketika mengutip sampah di Pangkalan Udara Bagram di utara Kabul. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment