My Add

Saturday 25 February 2012

BN Sarawak yakin pertahan 24 kerusi

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

BINTULU, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin akan mempertahankan sekurang-kurangnya 24 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Setiausaha BN negeri, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, jangkaan yang lebih konservatif itu dibuat selepas mengambil kira masalah yang dihadapi oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk mendapatkan sokongan di kawasan bandar.

Bagaimanapun, katanya, Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menegaskan pihaknya akan bekerja lebih keras selain memohon bantuan daripada parti-parti komponen BN lain.

"Dalam konteks Sarawak, kita yakin untuk menang dengan majoriti yang besar kecuali di kerusi kawasan bandar.

"Nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah semua komponen BN mesti membantu SUPP mendapatkan semula kerusi yang tewas dan mempertahankan kerusi yang telah dimilikinya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Tertutup Parti-Parti Komponen BN Sarawak bersama Muhyiddin yang turut disertai Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Turut serta ialah Fah Kui, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom serta beberapa pemimpin kanan parti-parti komponen BN Sarawak.

Berdasarkan tradisi kuota pembahagian kerusi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding di 14 kerusi, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan SPDP (empat).

Mengenai pergolakan dalaman SPDP pula, Rundi berkata, walaupun terdapat dua kumpulan yang bertelagah, mereka masih ahli BN dan ia tidak membimbangkan.

"Kebimbangan utama kami adalah tempoh pemulihan SUPP sewaktu kita bersiap sepenuhnya menjelang PRU-13," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jentera BN Sarawak kini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan memandangkan mereka baharu sahaja selesai menghadapi pilihan raya negeri April tahun lalu.

Ditanya adakah Muhyiddin gembira dengan persiapan komponen BN Sarawak bagi menghadapi PRU-13, beliau berkata: "Timbalan Perdana Menteri kelihatan gembira, malah tersenyum pada setiap masa."

Sementara itu, Fah Kui yang ditanya pemberita apakah nasihat Timbalan Perdana Menteri terhadap partinya yang kini dibelenggu masalah, enggan membuat sebarang ulasan.

Mawan pula apabila diajukan persoalan yang sama sekadar berkata, tiada yang luar biasa dan sebaliknya memberitahu Muhyiddin meminta SPDP bekerja keras dan bersedia menghadapi PRU-13. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment