My Add

Tuesday 7 February 2012

Belum ada pengesahan penahanan Azmin Helmi di Indonesia

KUALA LUMPUR, SELASA, 07 Februari, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima pengesahan daripada polis Indonesia mengenai penahanan Azmin Helmi, bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang disyaki terlibat menyebar gambar bogel wanita itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, Polis Negara Republik Indonesia (Polri) masih belum mengesahkan penahanan lelaki itu yang didakwa dilakukan oleh pihak berkuasa Batam, Indonesia, Jumaat lepas.

"Setakat ini masih belum ada pengesahan daripada pihak Indonesia mengenai tangkapan tersebut. Helmi masih dikehendaki polis Kuala Lumpur untuk bantu siasatan kes yang melibatkan Elizabeth Wong,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.

Chin Wah berkata sekiranya benar lelaki yang dikehendaki PDRM sejak 2009 itu ditahan, PDRM akan berurusan dengan Polri melalui saluran yang tertentu.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pihak berkuasa Batam, Indonesia ketika dia cuba memperbaharui pasport dengan menggunakan kad identiti dan sijil lahir palsu di Jabatan Imigresen Batam.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Indonesia terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia warga Malaysia dan mendakwa dirinya adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR). – BERNAMA

No comments:

Post a Comment