My Add

Wednesday 15 February 2012

BRIM: Jangan terima jika sangsi

BERA, SELASA, 14 Februari, 2012: Rakyat yang terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah bagi memancing undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dinasihatkan menolak semua bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka bukan sahaja perlu menolak BR1M tetapi juga menolak bantuan persekolahan RM100, Bantuan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) dan juga tidak membeli barangan yang disubsidikan oleh kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) hanya memperuntukkan lebih RM2 bilion untuk diagihkan kepada seluruh rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 tetapi peruntukan lebih besar ialah subsidi barangan kawalan mencecah lebih RM20 bilion.

''Kalau BR1M dan subsidi adalah rasuah dan haram, mereka yang menyokong dan bersetuju dengan pembangkang juga perlu membeli barangan disubsidikan oleh kerajaan pada harga sebenar.

''Contohnya, mereka perlu membeli petrol Ron 95 pada harga RM2.95 berbanding harga subsidi RM1.90 seliter, gula RM2.75 (harga sebenar RM2.30), gas memasak RM47 (RM27 bagi 14 koligram) dan beberapa barangan yang dikawal oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaikan BR1M peringkat Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Menurut beliau, pelbagai bantuan dan subsidi itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan pilihan raya tetapi atas sikap keprihatinan kerajaan yang bertujuan mengurangkan bebanan rakyat ekoran kenaikan harga barangan.

Tambahnya, kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku di seluruh dunia berikutan kejadian bencana alam yang berlaku di negara pengeluar seperti banjir, kemarau, gempa bumi dan lain lain menyebabkan pengeluaran barangan makanan terjejas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera mengingatkan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan segala dakwaan dan tohmahan pembangkang tetapi sebalik perlu rasional dan terus menyokong kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment