My Add

Wednesday 15 February 2012

MB Selangor dIingat tidak main wayang dalam isu pasir

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan tidak terus bermain 'wayang' berhubung isu penyelewengan pasir di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan tersebut sememangnya berlaku.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.

"Dakwaan yang mengatakan syarikat yang monopoli perlombongan pasir di Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) diurus secara telus hanya mainan politik untuk menutup isu tersebut.

"Justeru amat wajar sekiranya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan kerana banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri Besar itu.

"Sekiranya mahu bukti, kita ada semua bukti termasuk surat menyurat, transaksi bank dan akuan bersumpah orang-orang terlibat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Padi Pertubuhan Peladang Peringkat Kebangsaan 2012 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khalid yang menolak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan wujudnya skandal penyelewengan pasir di negeri itu dan turut dikaitkan dengan kes kematian Datuk Patrick Wong Kie Yik.

Tambah Noh, jika isu penyelewengan tidak wujud, mengapa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat perkara itu tetapi berhenti separuh jalan.

"Di mana yang dikatakan ada ketelusan dalam pengurusan pasir? Apabila ada kes melibatkan bekas pemimpin BN, Selcat telah dijalankan secara terbuka tetapi bila ada dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya ditutup.

"Inilah makna keadilan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu apabila timbul isu penyelewengan membabitkan kepentingan mereka semua itu akan ditutup," jelasnya.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar dengan penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang di Selangor lebih-lebih lagi dalam isu pasir.

"Jangan cuba untuk menipu rakyat dengan ayat-ayat retorik sahaja kerana segala penyelewengan itu akan didedahkan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment