My Add

Monday 20 February 2012

Bukti ekonomi negara tumbuh pesat - NGO

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Februari, 2012: Pemberian dividen sebanyak enam peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 kepada para pencarum menunjukkan pencapaian pertumbuhan ekonomi negara yang positif.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemberian kadar dividen sebanyak enam peratus itu membuktikan ekonomi negara bertumbuh pesat hasil transformasi yang dilakukan kerajaan.

Beliau menjelaskan, keadaan tersebut dapat memberikan keyakinan yang tinggi terhadap pelabur asing untuk melabur di negara ini terutama ketika ekonomi dunia kini mengalami pelbagai masalah.

"Semua rakyat negara ini perlu sedar bahawa kerajaan telah berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Perkara ini amat bagus untuk kehidupan rakyat serta kemakmuran negara," kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, biarpun dividen itu dikatakan tertinggi dalam sedekad tetapi kenaikannya hanyalah sebanyak 0.2 peratus sedangkan MTUC menyasarkan 0.5 peratus.

"Kenaikan ini tidaklah jauh berbeza dan kita lihat sebenarnya KWSP mampu untuk memberikan lebih, namun kita faham akan kekangan yang dihadapi institusi itu.

"Jadi kita harap selepas ini KWSP diberikan kebebasan dan ruang dalam membuat keputusan tanpa campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar KWSP lebih agresif menjalankan pelaburan di peringkat antarabangsa dan diberikan ruang untuk bertindak sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberikan pulangan yang lebih besar kepada institusi tersebut.

Beliau juga berharap pengurusan KWSP sentiasa telus dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana badan termasuklah badan politik ataupun kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment