My Add

Tuesday 14 February 2012

Cari kaedah siasatan baru - PM

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari kaedah baru dalam menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes jenayah.

Kata Perdana Menteri, kaedah baru itu perlu seiring dengan persekitaran jenayah yang lebih moden hari ini sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kemampuan PDRM.

"Kaedah baru itu termasuk teknologi penyiasatan terkini dan kertas siasatan yang lebih lengkap selain memastikan prinsip kepimpinan dalam organisasi PDRM itu sendiri sentiasa diletakkan di barisan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan anjuran PDRM dengan kerjasama Institut Kepimpinan Dan Strategi Asean (Asli) di sini hari ini.

Menurut Najib, anggota PDRM juga tidak wajar berasa putus asa atau mengalah terhadap percubaan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan moral serta semangat mereka dengan pelbagai fitnah dan cacian.

Kata beliau, tuduhan-tuduhan tidak berasas itu sepatutnya diambil sebagai satu cabaran dalam memantapkan serta memperteguhkan lagi keupayaan PDRM membanteras jenayah.

Sambil melahirkan ucapan bangga dan tahniah atas penurunan kadar indeks jenayah serta peningkatan keyakinan orang ramai terhadap PDRM, tegas Najib, pasukan itu ketika ini berada pada landasan terbaik dalam memikul amanah dan tanggungjawab mempertahan keamanan negara.

"Sudah semestinya usaha memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada jenayah adalah satu perjalanan yang panjang namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment