My Add

Tuesday 14 February 2012

Kerajaan perkenal mekanisme penyelesaian

NAJIB Tun Razak menyampaikan ucapan yang turut disertai oleh Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya semalam. - utusan/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA, ISNIN, 13 Februari, 2012: Kerajaan sentiasa memperkenalkan mekanisme baru dalam pentadbiran melalui penekanan terhadap kaedah penyelesaian masalah secara lebih efektif demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan itu sejajar dengan persetujuan dan kehendak para menteri semasa sesi permukiman di kediaman rasmi beliau minggu lepas.

Tegas beliau, ada beberapa isu yang memerlukan pegawai tinggi kerajaan menyelesaikan masalah secara 'cross-cutting' untuk mencapai hasil yang diharapkan tanpa menggunapakai kaedah konvensional yang kurang berkesan.

'Kita tidak perlu mengekalkan kaedah lama kerana itu amalan kita sedia kala justeru kita mesti mencipta idea baru yang lebih kreatif melalui pendekatan baru kerana inilah sikap yang perlu ada pada kita.

''Kita juga tidak boleh bersikap menidakkan kalau ada benda baru yang kita difikirkan baik jika mekanisme baru itu boleh kita guna pakai kerana ia lebih berkesan," katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Menurut Perdana Menteri, kaedah perbincangan melalui Jawatankuasa Kabinet tidak lagi sesuai kerana mengambil masa yang lama dan melibatkan ramai menteri dan pegawai kerajaan namun hasilnya mungkin lebih baik jika mengamalkan pendekatan penyelesaian masalah.

''Sebagai sebuah pentadbiran kita sentiasa mencari idea baru dan pendekatan baru sebab itulah kita perkenalkan pendekatan Lautan Biru untuk mencari jalan mencapai hasil lebih berkesan dengan menggunakan peruntukan minima dan penjawat awam sedia ada," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, para pegawai perlu menterjemahkan kehendak kerajaan seiring dengan tuntutan sesuatu keperluan dan situasi melalui keputusan yang tepat dan pantas kerana negara memerlukan anggota pentadbiran yang cekap dan berintegriti untuk melakukan tugas dengan lebih efektif.

Katanya, segala bantuan untuk rakyat perlu disampaikan kepada kumpulan sasaran mengikut jadual ditetapkan dan setiap projek yang hendak dilaksanakan juga mesti dipastikan kelancarannya.

Najib berkata, Malaysia perlu lebih bersedia melakukan perubahan agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang begitu hebat ekoran keadaan dunia yang tidak menentu meskipun negara memiliki kekuatan dalaman untuk menghadapinya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment