My Add

Monday 6 February 2012

Contohi keperibadian Rasulullah

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah menadah tangan ketika bacaan doa pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin dan Jamil Khir Baharom.


Oleh HAKIMI ISMAIL dan THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, AHAD, 05 Feburi, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah menyeru umat Islam mencontohi keunggulan peribadi Nabi Muhammad SAW ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang hebat selain menjadi contoh teladan kepada dunia

Baginda bertitah, bagi mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

''Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai ibadah merupakan perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global.

"Perjuangan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah telah berjaya mendidik, memimpin serta membawa umat jahiliah berhijrah daripada kekufuran dan kejahilan kepada umat Islam yang memiliki keimanan yang kental dan ketinggian ilmu yang membanggakan," titah baginda semasa merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1433 Hijrah di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri, Datin Seri Fatmawati Saidin.

Tuanku Abdul Halim bertitah, kegigihan Nabi Muhammad SAW dilihat berjaya membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zaman itu mahupun di zaman Khulafa' ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga mampu mencipta satu tamadun gemilang di mana umum mendengar Islam berjaya memimpin hampir tiga perempat dunia

Dalam pada itu, baginda turut berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan wawasan yang telah diamanahkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan wawasan itu perlu dijadikan tonggak untuk memupuk semangat persefahaman, persaudaraan dan perpaduan semasa Islam dan bukan Islam.

Ini supaya rangkaian sosial yang mantap dapat diwujudkan ke arah peningkatan daya saing serta daya tahan umat Islam

Titah baginda, umat Islam juga perlu mempertingkatkan penghayatan terhadap al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sehingga menjadi ummah yang bersatu padu serta sentiasa mapan mendepani cabaran semasa.

"Laksanakanlah tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya untuk mencapai perpaduan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan yang jitu," titah baginda.

Sambutan yang bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' itu menyaksikan seramai sembilan individu menerima anugerah sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dengan Mufti Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad, dipilih menerima Anugerah Perdana.

Terdahulu, sebanyak 121 kontinjen yang disertai lebih 12,000 peserta terdiri daripada kakitangan agensi-agensi kerajaan, badan beruniform, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak sejauh 2.4 kilometer bermula dari pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Masjid Putra di sini sambil berselawat.

PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 dari Masjid Tuanku Mizan ke Masjid Putra di Putrajaya, pagi ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail






No comments:

Post a Comment