My Add

Sunday 12 February 2012

Didakwa kumpul kekayaan negeri?

IBRAHIM Ali (belakang, tiga dari kanan) beramah mesra dengan murid yang khatam al-Quran pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1), Tendung, Pasir Mas, semalam.

PASIR MAS, SABTU, 11 Februari, 2012: Pemimpin Pas Kelantan didakwa semakin ghairah mengumpul kekayaan termasuk membeli lot-lot hartanah membabitkan projek yang dibangunkan oleh agensi kerajaan negeri.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau mendapat maklumat mengenai tindak-tanduk beberapa pemimpin Pas Kelantan yang dikatakan membeli lot-lot hartanah seperti pembinaan Pusat Dagangan Kelantan (KTC).

Menurutnya, apa yang menjadi persoalan ialah tindakan pemimpin Pas terbabit yang gaji mereka tidaklah besar tetapi mampu pula membeli lot-lot hartanah itu dengan menggunakan nama ahli keluarga dan saudara-mara bagi mengelak dikesan.

Katanya, berdasarkan maklumat tersebut, ia jelas menunjukkan sikap hipokrit pemimpin Pas di Kelantan yang sering bercakap tentang Islam dan menggambarkan diri mereka lebih baik daripada pihak lain tetapi tindak-tanduk mereka sebaliknya.

"Memanglah dia beli, tetapi kita tidak tahu waktu dia beli itu kosnya, sama ada dia dapat diskaun atau tidak?

"Kita tahu wakil rakyat Pas ini kebanyakannya bermula dengan tidak ada apa, jadi dalam tempoh menjadi wakil rakyat dua atau tiga penggal, tengok-tengok harta isteri? Jadi, orang nak tahulah, elok sangat diisytihar sebab mereka ini dikatakan parti Islam," katanya di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ibrahim turut mengumumkan kesediaan beliau untuk menaja semua pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah ini untuk membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH).

Sebagai permulaan, Ibrahim menaja pembukaan akaun Tabung Haji melibatkan kira-kira 900 murid Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1) (SKOT (1)) dan ibu bapa mereka yang belum mempunyai akaun simpanan.

Pembukaan akaun tersebut akan di jalankan secara berperingkat dan pada hari ini seramai 52 murid SKOT (1) yang telah khatam al-Quran menerima buku simpanan Tabung Haji daripada Ibrahim bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment