My Add

Sunday 12 February 2012

Pas gagal atasi masalah

MOHD. Shafie Apdal menyampaikan bantuan peralatan pertanian kepada peserta Ladang Masyarakat sambil diperhatikan Ibrahim Muhamad (tiga dari kanan) dan Aziz Yusoff (kiri) di Pos Brooke, Lojing, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

LOJING, SABTU, 11 Februari, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kesal apabila Orang Asli di negeri ini terpaksa berdemonstrasi untuk mempertahankan tanah adat mereka disebabkan kegagalan Kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan masalah terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Pas Kelantan mempunyai perancangan teliti dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.

Malah, kata beliau, masalah yang dihadapi Orang Asli itu juga tidak akan timbul jika negeri ini diperintah oleh Barisan Nasional (BN) kerana parti itu amat mementingkan kebajikan rakyat.

"Saya beri jaminan BN akan atasi masalah tanah Orang Asli jika kita perintah Kelantan, susah untuk kita melaksanakan pembangunan sekiranya kerajaan negeri dan Pusat tidak selari.

"Kementerian sememangnya memandang serius kejadian itu, sewajarnya kerajaan Pas Kelantan lebih prihatin, jangan hanya bercakap untuk membela rakyat dan negara berkebajikan tetapi tidak dilaksanakan dan rakyat terus terabai," katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Mesra di Perkampungan Orang Asli Pos Brooke, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhammad, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam dan ADUN Galas, Aziz Yusoff.

Pada majlis tersebut, Mohd. Shafie turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011.

Beliau mengulas mengenai insiden polis menahan 13 penduduk masyarakat Temiar yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram mewakili 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik, Gua Musang pada 24 Januari lalu kerana membantah tanah adat mereka diceroboh dengan kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang.

Sejak beberapa tahun lalu, masyarakat Orang Asli di negeri ini terutama di Gua Musang dan Lojing sering mengadakan demonstrasi menuntut tanah adat mereka diwartakan.

Malah pada 2009, tiga pemuda masyarakat tersebut telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya tanah adat mereka diwartakan dan tidak dicerobohi untuk pembalakan, ladang komersial serta perlombongan.

Mohd. Shafie berkata, kementeriannya dalam proses perbincangan untuk mewartakan tanah adat di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian dan rakyat turut mengalami kerugian apabila projek bekalan air di Pos Mandrope melibatkan kos kira-kira RM20 juta rosak dan paip pecah disebabkan aktiviti pembalakan.

"Sewajarnya Kerajaan Pas Kelantan meneliti semua aspek sebelum meluluskan satu projek. Akhirnya rakyat yang rugi kerana tidak menggunakan bekalan air begitu juga kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan untuk memperbaiki kerosakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment