My Add

Wednesday 8 February 2012

Dominasi warga Myanmar

PEKERJA dari Myanmar sanggup berkerja tujuh hari seminggu dengan gaji antara RM40-RM50 sehari di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR, RABU, 08 Februari, 2012: Hampir 80 peratus warga Myanmar dilihat masih bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur walaupun rata-rata daripada mereka tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah di negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati kebanyakan warga Myanmar yang diambil bekerja diakui oleh majikan mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah dan alasan yang diberikan adalah kerana prosedur mendapatkan permit sangat rumit.

Rata-rata majikan di pasar borong itu juga mengambil warga Myanmar berikutan sukar mendapatkan pekerja tempatan dan sikap rajin yang ditunjukkan pekerja asing tersebut memudahkan lagi perniagaan mereka.

Seorang peniaga sayur, yang mahu dikenali sebagai Chong , 43, berkata, sikap warga Myanmar yang tidak mengeluh dan sanggup bekerja tujuh hari seminggu menyebabkan dia mengambil pekerja asing untuk bekerja di kedainya.

“Saya mempunyai empat orang pekerja warga Myanmar dan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai permit bekerja yang sah.

“Namun saya sedang berusaha untuk mendapatkan permit yang sah untuk mereka,” katanya ketika ditemui di pasar borong itu semalam.

Peniaga buah-buahan, Yap, 43, berkata, prosedur yang rumit menyebabkan kebanyakan majikan mengambil ringan terhadap keperluan mendapatkan permit untuk pekerja asing mereka.

“Saya mempunyai 10 pekerja warga Mynmar dan kebanyakan daripada mereka mempunyai permit bekerja yang sah dan lain-lain sedang dalam proses untuk mendapatkan permit,” katanya.

Peniaga buah-buahan, Lai, 42, pula berkata, kebanyakan daripada warga Mynmar hanya memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak memiliki permit kerja yang sah.

“Bukan tidak mahu mengambil pekerja warga tempatan, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak berminat dan tidak mampu melakukan tugas berat seperti pekerja asing,” ujarnya.

Sementara itu, rata-rata pekerja warga Myanmar ketika ditemui memberitahu, tawaran gaji yang agak tinggi iaitu sekitar RM40 hingga RM50 sehari menyebabkan mereka suka bekerja di pasar borong tersebut walaupun terpaksa bekerja tujuh hari seminggu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment