Oleh HELMI MOHD. FOAD
SHAH ALAM, RABU, 08 Februari, 2012: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tetap dengan pendiriannya untuk melakukan penstrukturan semula sektor perkhidmatan air dengan Perbadanan Aset Air Bhd. (PAAB) bagi memiliki dan mengembangkan aset air manakala syarikat milik penuh kerajaan negeri menguruskan perkhidmatan air.
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri bersedia mengguna pakai Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang telah digubal bagi memberikan laluan kepada Kerajaan Pusat memperbaiki peraturan lebih baik terhadap perkhidmatan bekalan dan penyediaan infrastruktur air.
Justeru, menurut kenyataan itu, kerajaan negeri sedang menunggu Kerajaan Pusat membuat keputusan berkenaan perkara itu secara profesional bagi kepentingan lima juta pengguna di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Kerajaan negeri menyokong aspirasi dan matlamat WSIA dan sentiasa bersedia membincangkan penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dengan PAAB mengambil alih aset air milik kerajaan negeri Selangor bernilai lebih daripada RM12 bilion dan selepas itu menyerahkan operasi perkhidmatan air kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri berpendirian bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak sesuai dikekalkan sebagai pengendali perkhidmatan air di negeri ini kerana ia telah gagal memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian konsesi seperti pengurangan peratusan air tidak berhasil (NRW), mengadakan program penggantian paip secara mantap dan berterusan, pengumpulan dana awam secara tidak sah menerusi Tabung Budi dan kegagalan bekerjasama dengan juruaudit yang dilantik oleh kerajaan negeri," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan, kerajaan negeri sangat konsisten dengan pendiriannya mengenai pengurusan air di negeri ini dan penggubalan WSIA secara langsung mengakui kelemahan penswastaan yang sehingga kini gagal menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur air berkualiti pada kos yang munasabah kepada pengguna.
Dalam hal ini, kenyataan itu memberitahu, akaun Syabas yang telah diaudit bagi 31 Disember 2010 menunjukkan syarikat itu menghadapi masalah kewangan, malah syarikat induknya, Puncak Niaga Holdings Bhd. berada dalam kedudukan teknikal PN17 namun telah diberikan pengecualian oleh Bursa Malaysia daripada dikategorikan sebagai PN17.
Katanya, pengecualian juga diberikan sehingga 30 Jun 2012 untuk membetulkan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.
"Sehingga kini, Bursa Malaysia tidak memberi penerangan yang memuaskan kepada kerajaan negeri sebab-sebab pengecualian yang diberikan kepada Puncak Niaga," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment