My Add

Tuesday 14 February 2012

Mahathir anggap tuduhan Dzaiddin, Nazri tak berasas, fitnah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah melemahkan sayap badan kehakiman negara menerusi pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan ketika era pentadbirannya sekitar 1980-an.

Tegas beliau, dakwaan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan perkara itu adalah tidak berasas dan merupakan satu fitnah terhadapnya.

Menurutnya, mereka seharusnya menyemak semula peruntukan Perlembagaan terbabit dan menjelaskan sama ada terdapat bahagian-bahagian tertentu yang melemahkan badan kehakiman sehingga terpaksa ‘tunduk’ kepada kehendak ahli-ahli politik dalam cabang Eksekutif kerajaan seperti didakwa.

“Mereka boleh tanya sesiapa pun untuk mentafsirkan undang-undang itu dan lihat sama ada berlaku seperti apa yang didakwa. Ini fitnah. Tuduhan-tuduhan itu tidak berasas dan jika benar seperti didakwa, sudah pasti saya akan menukarkan jawatan ramai individu dalam badan kehakiman semasa mentadbir negara dahulu.

“Tetapi saya tidak akan saman mereka (atas dakwaan terbabit) kerana itu tindakan sia-sia,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Jumaat lalu, Mohamed Dzaiddin dalam satu majlis di ibu negara mendakwa pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr. Mahathir sekitar 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman.

Akibat pindaan itu, dakwanya, kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen.

Hal sama turut diulas Mohamed Nazri dalam satu kenyataan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, berhubung dakwaan beliau ‘menyingkirkan’ bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas pada 1988, perkara itu berlaku bukan atas kehendaknya.

Sebaliknya jelas beliau, ia berdasarkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Agong yang hendak Salleh digugurkan, bukan atas kehendak saya. Mengenai dakwaan Nazri (Mohamed Nazri) pula, semua tahu dia tidak pernah suka saya. Biarkanlah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri menghantar pulang kolumnis akhbar Arab Saudi, Mohammad Najeeb A. Kashgari yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lalu ke negara asalnya adalah polisi kerajaan ketika ini.

“Ia polisi kerajaan, sudah tentu polisi saya dahulu berbeza. Sekarang kita mahu ‘berkawan’ dengan banyak negara dan memenuhi permintaan mereka,” jelasnya.

Mohammad Najeeb dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui Twitternya menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment