My Add

Tuesday 14 February 2012

Kayuhan Trans 1Malaysia tiba destinasi terakhir

KANGAR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Lebih 100 peserta Kayuhan Amal Merdeka 1Malaysia (Trans 1Malaysia) tiba ke destinasi terakhir di Dewan Residensi di sini hari ini, selepas melalui perjalanan sejauh 1,034 kilometer bermula dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 5 Februari lalu.

Program anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana, UTM dan Belia 4B Johor itu turut mendapat sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, Aqsa Syarif, Gin Huat Trading Berhad dan Malakoff Corporation.

Pengerusi Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, program tersebut berjalan lancar dengan semua peserta berjaya menamatkan kayuhan.

''Peserta tidak mengalami sebarang masalah, cuma berlaku kemalangan kecil sahaja.

''Kayuhan ini juga dilakukan secara berperingkat-peringkat dan biasanya sehari peserta akan mengayuh basikal dan sehari lagi akan berehat,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Syahrin, semua peserta telah melalui 16 peringkat kayuhan membabitkan jarak antara 100 hingga 150 kilometer sehari.

Katanya, peserta terdiri daripada 40 mahasiswa UTM, Belia 4B (20), urus setia (20) dan bakinya merupakan alumni serta staf UTM.

Sementara itu, wakil UTM, Prof. Madya Ahmad Khalid memberitahu, program itu bertujuan memupuk semangat kerjasama di kalangan mahasiswa dan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

''Mahasiswa yang menyertai kayuhan ini juga terlibat dalam program motivasi di sekolah, kempen bumi hijau dan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Beliau menambah, jumlah kutipan dana akan diumumkan pada majlis Makan Malam Perdana bersama Pengayuh Trans 1 Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu malam ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment